Home Nasional Polis tangkap tiga anggota polis lakukan pemerasan

Polis tangkap tiga anggota polis lakukan pemerasan

drunk driver Perodua Bezza SKVE hit and run motorcyclists driving against traffic assault

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis yang bertugas di Balai Polis Ampang, di sini, ditahan selepas disyaki melakukan pemerasan terhadap seorang ejen jualan kenderaan dalam kejadian di Persiaran Pandan Prima, Dataran Prima, Ampang dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ketika kejadian, pengadu yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun sedang memandu kereta di kawasan tersebut sebelum ditahan oleh dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang lengkap beruniform.

“Suspek telah memeriksa telefon bimbit milik pengadu dan mendakwa pengadu mempunyai kesalahan atas milikan sesuatu dokumen.

“Suspek kemudiannya meminta sejumlah wang tunai bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kerana takut, pengadu telah menyerahkan wang secara tunai dan pindahan secara atas talian melalui sebuah akaun bank ke atas nama seorang lelaki tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga anggota berusia 36, 44 dan 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Jelas beliau, kesemua suspek bertugas di Balai Polis Ampang dan telah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia lebih 10 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek bebas dari kesalahan berkaitan dadah atau tata tertib.

“Modus operandi suspek adalah dengan jalan mengesan mangsa dan menjalankan pemerasan sebelum meminta wang supaya tidak ditangkap.

“Usaha mengesan suspek yang masih bebas terutamanya pemilik akaun bank masih diteruskan dan soal siasat juga dijalankan terhadap suspek atas penglibatan dalam kes ini serta lain-lain kes yang mempunyai modus operandi sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk turut meminta orang ramai yang pernah berdepan kejadian sama untuk tampil membuat laporan polis.

“Polis IPD Ampang Jaya tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota dalam sesuatu jenayah yang dilakukan.

“Kita sentiasa bersikap adil dalam menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana menjalankan pemerasan. – MalaysiaGazette