Home Sukan Syahmi Safari sah milik JDT

Syahmi Safari sah milik JDT

Syahmi Safari. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

JOHOR BAHRU – Teka-teki masa depan Syahmi Safari yang akan bermain dengan pasukan mana pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini selepas tidak menyambung kontrak bersama Selangor FC akhirnya terjawab.

Menerusi rakaman video selama seminit di laman rasmi Johor Southern Tigers hari ini, pemain Harimau Malaya itu disahkan memilih kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai destinasi untuk meneruskan karier bola sepak profesionalnya.

Malah di dalam video berkenaan, pemain kelahiran Kuala Selangor itu yang kini berusia 23 tahun menegaskan hanya terdapat satu destinasi untuk mengembangkan karier bola sepaknya dan ia adalah kelab JDT.

“Saya kini berada di sini. Terdapat hanya satu destinasi dalam bola sepak Malaysia dan JDT adalah tempatnya.

“Saya tidak boleh menyatakan tidak kepada kelab terbesar di Malaysia. ini adalah cabaran. Cabaran untuk saya melangkah ke hadapan dan mencapai kejayaan sebagai pemain bola sepak,” kata Syahmi.

Sebelum ini pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ada seorang atau dua pemain tempatan akan dibawa masuk bagi menambah kekuatan juara Liga Super lapan musim berturut-turut itu.

Selepas ini, JDT dijangka mengumumkan seorang lagi pemain tempatan dan seorang pemain import yang bakal digandingkan bersama Bergson Da Silva bagi mengharungi kempen Liga M dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL). – MalaysiaGazette