KUALA LUMPUR – Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid yang bakal memasuki Tahun 2 hingga Tingkatan 5 pada 21 Mac 2022 bagi sesi persekolahan tahun 2022/2023 akan diagihkan mulai 17 Januari ini.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi tahun 2021/2022 layak untuk menerima bantuan tersebut.
“Bagi murid Tahun 1 yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, untuk sesi persekolahan tahun 2022/2023, Kerajaan telah bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini.
Menurutnya, manfaat bantuan ini akan diterima oleh seramai 3 juta penerima BAP dalam kalangan isi rumah berpendapatan
RM3,000 ke bawah.
Katanya, pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank bagi murid yang mempunyai akaun bank.
Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia, ujarnya.
“KPM yakin pemberian BAP ini akan dapat membantu ibu bapa/penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi Sesi Akademik 2022/2023,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette