KUANG – Datuk kepada remaja mencuri tabung masjid dan dimandikan ala jenazah mendedahkan bahawa beliau yang menyarankan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al Islahiah Kuang supaya membuat laporan polis ke atas cucunya itu.
Ketika ditemui MalaysiaGazette, Rosli Sidek, 65, berkata, ini kerana beliau ingin memberi pengajaran kepada cucunya, Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, supaya menjadi orang berguna pada masa depan.
Malah, katanya, beliau tidak ingin apa yang terjadi terhadap keluarganya gara-gara sikap negatif Daniel Iskandar sebelum ini akan menimpa orang lain.
“Daniel Iskandar merupakan remaja yang bermasalah dan saya tidak sanggup menjaganya kerana tindakan yang tidak boleh dikawal lagi dan agresif.
“Kemungkinan besar dan dikhuatiri dia ada ambil benda terlarang dan baru terjebak jadi penagih kerana sering melakukan tindakan luar dugaan.
“Contohnya dia pernah mencuri wang dan motosikal saya, wang simpanan umrah arwah neneknya, telefon bimbit saudaranya, pernah hendak ugut mencederakan arwah neneknya dan sering pulang lewat malam,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di sini hari ini.
Rosli turut memohon kepada netizen di media sosial agar tidak menyalahkan AJK masjid yang membawa kes curi cucunya itu kepada pihak berkuasa.
Artikel berkaitan;
- Dimandi Seperti Jenazah Kerana Curi Tabung Masjid #MGFlash
- Remaja cuba curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000
Tegas beliau, negara ini mempunyai undang-undang dan tindakan itu diharap dapat mengubah sikap Daniel Iskandar.
Rosli juga mengakui pihak AJK masjid terlebih dahulu berbincang dengannya namun beliau nekad kes cucunya disiasat polis.
Malah Rosli juga tidak ambil hati apabila video cucunya menjadi viral kerana dimandikan seperti jenazah.
“Saya tidak ambil hati pun malah bersyukur dia diberi pendidikan kerana mencuri.
“Nasib baik hanya dijirus air biasa kalau air panas macam mana,” katanya yang tidak menyesal tidak mempertahankan cucunya itu agar kes curi itu diselesai cara baik.
Ditanya mengenai masa depan Daniel Iskandar, Rosli hanya berharap tiga impiannya boleh dipenuhi selepas kes cucunya menjadi tular sejak semalam.
Katanya sekiranya Daniel Iskandar dapat dibebaskan, beliau mahu ada pihak dapat memasukkannya ke rumah perlindungan atau pusat kemahiran.
Selain itu beliau juga mahu jaminan polis agar dirinya tidak lagi diganggu oleh menantunya yang juga bapa Daniel Iskandar.
“Pada masa sama, saya tidak pernah suruh dia beli ubat sehingga mencuri. Saya pun ada terima bantuan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 sebulan.
“Malah pihak AJK masjid selalu bertanya khabar dan memberi barang keperluan asas seperti beras setiap bulan,” katanya yang tidak berniat mendedah aib cucunya namun perlu bersikap jujur.
Semalam, Daniel Iskandar dikenakan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis kerana cuba mencuri tabung masjid lima hari lalu.
Daniel Iskandar yang juga penganggur dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap iaitu 9 Januari lalu dan tambahan jel lima bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhi hukuman, Majistret Nik Mohd Fadli menegur tindakan tertuduh bahawa mencuri merupakan satu kesalahan.
“Tahu apa salah awak? Duit itu, orang bagi untuk pembangunan masjid, awak cuba curi dan letak pula dalam bilik jenazah.
“Harap benda ini dijadikan satu pengajaran dan kesedaran pada awak,” katanya.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa cuba mencuri tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyembunyikannya dalam bilik mandi jenazah.
Perbuatan itu dilakukan di masjid berkenaan di Kilometer (KM) 28 Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, 8 Januari lalu.
Ia merupakan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
Biasa la natezen, bab komen memang win, pucuk pangkal letak tepi dulu, hahahaha
Nak simpati dengan pencuri pun biar kena pada tempatnya . Jangan membuta tuli simpati yang boleh membawa bertambah parah .
Kononnya bersangka baik cucu curi wang untuk beli ubat datuknya.