Home Politik BN akan bertanding solo – Khaled

BN akan bertanding solo – Khaled

Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – UMNO melalui Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang tidak bersama komponen itu, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut beliau, BN akan kembali dominan dan kembali mentadbir dan mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.

Kenyataan itu dalam hantaran di Facebooknya selepas meninjau persiapan jentera Pusat Daerah Mengundi Keembong di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

Beliau berkata, walaupun Johor Jaya di bawah pembangkang tetapi ahli UMNO kekal setia dan bekerja keras untuk memastikan BN kembali tawan semula kerusi tersebut.

Khaled juga menekankan kepada MCA supaya parti itu bekerja kuat dan memainkan peranan membawa semula pengundi kaum Cina kembali kepada BN.

BN telah bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November tahun lalu dan  menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Spekulasi PRN Johor bertiup kencang sejak kebelakangan ini.

Meskipun perkara itu dinafikan oleh politik Johor namun media melaporkan kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai bahawa beliau mendapat  kerajaan negeri sedang bersedia ke arah pembubaran DUN khususnya selepas kematian Adun Kempas, Datuk Osman Sapian.

Di Johor, BN mempunyai 16 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (11) dan Pas (1).

Manakala Pakatan Harapan pula 27 kerusi.  MalaysiaGazette