Home Politik Mana ada dua kem dalam UMNO – Mahdzir Khalid

Mana ada dua kem dalam UMNO – Mahdzir Khalid

Datuk Seri Mahdzir Khalid. Foto AMIRUL SHAUFIQ.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan tidak wujud sebarang kem dalam pucuk pimpinan UMNO.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, UMNO kini berada dalam landasan yang baik walaupun jawatan Perdana Menteri bukan dipegang oleh Presiden UMNO seperti tradisi sebelum ini.

“Usah wujudkan pandangan seolah-olah ada dua kelompok dalam UMNO kerana perkara itu tidak wujud.

“Sebagai Naib Presiden, saya boleh sahkan bahawa segalanya baik-baik saja di peringkat pusat,” katanya hari ini.

Ahli Parlimen Padang Terap itu berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di Dewan Bangunan UMNO Padang Terap hari ini.

Dalam pada itu, Mahdzir berharap tidak ada pihak yang mengadu domba sehingga mewujudkan perpecahan di dalam UMNO.

“Kita berada dalam satu rangka kerja menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan presiden komited menguruskan parti ketika Naib Presiden menjadi Perdana Menteri, jadi saya tak nampak ada sebarang masalah ketika ini,” kata Mahdzir.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang menjawab mengenai ura-ura Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan di Johor berkata, parti itu sentiasa bersiap sedia biar apa pun keputusan yang dicapai oleh UMNO Johor.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN), parti yang sentiasa bersedia. Apa juga keputusan UMNO Johor kita sentiasa bersedia,” ujarnya. – MalaysiaGazette