Home Pendapat Membina integriti melalui ketelusan amalan

Membina integriti melalui ketelusan amalan

Bangunan Parlimen Malaysia. foto HAZROL ZAINAL.- Gambar hiasan.

Pemisahan kuasa

ISU korupsi bukanlah sesuatu yang baharu didalam sejarah tamadun manusia malahan telah wujud sejak sekian lamanya. Jika diselusuri susur galur sejarah, amalan rasuah bukan sahaja memusnahkan sesebuah institusi kenegaraan, malah mampu menenggelamkan kegemilangan sesebuah empayar. Dalam konteks negara kita, kesedaran tentang sikap anti korupsi boleh dilihat semakin membugar sejak dua dekad yang lalu. Hal ini mungkin sahaja dipengaruhi oleh perubahan landskap politik dan juga pendidikan anti korupsi yang digerakkan oleh pelbagai pihak sejak sekian lamanya.

Amalan memberi ‘duit kopi’ misalnya yang pada satu ketika dahulu dilihat sebagai satu kebiasaan, kini didurjanakan dengan selayaknya. Walaupun yang demikian, salah guna kuasa masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat, malah yang lebih mengecewakan ianya berlaku dalam kalangan pimpinan negara. Ada juga pihak yang mendakwa golongan ini dilihat lebih kebal undang-undang daripada golongan kebanyakan oleh kerana keisitimewaan, pengaruh dan kuasa yang dimiliki.

Sebagai pemegang amanah negara, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi ia bukan sahaja mampu melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap figura tersebut, malah institusi yang dipertanggungjawabkan kepadanya secara keseluruhannya. Pada pandangan penulis, integriti haruslah ditonjolkan melalui tauladan daripada peringkat atasan, supaya ia menjadi contoh yang baik diperingkat bawahan. Cabaran menguruskan integriti boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya doktrin pemisahan kuasa di peringkat atasan dihayati dengan sebaiknya.

Teori doktrin pemisahan kuasa

Menurut seorang tokoh sejarawan Britain, Lord Acton didalam sebuah penulisan beliau dalam membicarakan soal permasalahan moral, beliau menegaskan bahawa “Kuasa cenderung untuk merosakkan dan kuasa mutlak merosakkan secara mutlak (Power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely)”. Didalam hal ini beliau menegaskan adalah menjadi kewajipan bahawa piawaian moral yang sama haruslah terpakai kepada semua secara saksama kepada semua, termasuklah kepada pemimpin politik ataupun pemimpin agama.

Bagi mencapai matlamat ini, ahli falsafah Perancis, Montesquieu berpendapat bahawa kuasa politik sesebuah negara tidak boleh dipusatkan kepada seseorang individu ataupun sesuatu entiti, tetapi haruslah dipisahkan dan dibahagikan. Hal ini kerana beliau percaya bahawa sekiranya kuasa politik dipusatkan, maka ia akan membuka ruang kepada salah guna kuasa dan kezaliman. Kenyataan ini turut disokong oleh ahli falsafah Inggeris John Locke, di mana menurut beliau godaan terhadap kuasa adalah kelemahan manusia. Ahli falsafah purba Greek, Aristotle pula berpendapat bahawa sekiranya pemisahan kuasa dilaksanakan dengan sempurna, maka ia memberi isyarat bahawa Perlembagaan sesebuah negara itu disusun dengan baik.

Oleh itu boleh disimpulkan bahawa, doktrin pemisahan kuasa adalah bersifat anti kemaharajalelaan. Berdasarkan model Tripartite Montesquieu, kuasa politik sesebuah negara harus dipisahkan kepada tiga bahagian, iaitu Eksekutif (Pemerintah dan kerajaan), Kehakiman (Judisiari), dan Legislatif (Perundangan). Dalam hal ini, Montesquieu menegaskan bahawa setiap cabang haruslah beroperasi didalam ruang lingkup fungsi dan kuasanya sendiri tanpa mencampuri urusan cabang-cabang yang lain. Ini bermaksud fungsi badan legislatif hanya terhad untuk menggubal undang-undang, eksekutif hanya khusus untuk menggubal dan melaksanakan polisi negara, manakala badan kehakiman hanya berperanan untuk menguatkuasakan dan menafsir undang-undang.

Namun, versi Westminster yang dipelopori oleh James Madison memberi ruang kepada pertindihan fungsi dan kuasa diantara cabang-cabang yang disebutkan dengan syarat perlunya ada mekanisme semak dan imbang (check and balance). Konsep yang dibawa oleh Madison inilah yang diterima dan digunapakai di Malaysia sepertimana di Britain. Walaupun konsep ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri, namun ianya juga membolehkan eksekutif menjadi badan yang lebih dominan berbanding cabang-cabang yang lain.

Sebagai contoh, kuasa perlantikan jawatan-jawatan utama didalam badan kehakiman di Malaysia terletak ditangan eksekutif. Ini jelas termaktub dibawah Fasal 121B(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa jawatan-jawatan utama dalam
badan kehakiman seperti Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan juga Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang Dipertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri, di mana kedua-duanya adalah sebahagian daripada cabang eksekutif.

Pemakaian versi Westminster juga membenarkan ahli-ahli daripada cabang eksekutif untuk menjadi sebahagian daripada cabang Perundangan. Ini jelas apabila Perlembagaan Persekutuan melalui Fasal 43(2)(a) mensyaratkan seorang Perdana Menteri dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat iaitu salah satu cabang legislatif dan mempunyai sokongan dan kepercayaan daripada majoriti ahli Dewan tersebut. Melalui Fasal ini, secara langsung dan tidak langsung ia memberikan ruang dominasi cabang eksekutif di Parlimen di dalam melaksanakan urusan hariannya. Pada pandangan penulis, selain daripada Perlembagaan itu sendiri, keabsahan dominasi ini turut timbul diatas rasa yakin pemerintah bahawa sebuah kerajaan tersebut didirikan oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

Kepercayaan dan keyakinan berlebihan terhadap mandat yang dimiliki mampu menjurus kepada salah guna kuasa dan mencipta ilusi bahawa segala apa tindakan penguasa akan direstui rakyat secara total. Di sinilah pentingnya konsep semak dan imbang dilaksanakan didalam sesebuah demokrasi terutamanya dalam usaha memelihara integriti dan akauntabiliti sesebuah kerajaan.

Semak dan imbang memupuk integriti di peringkat nasional

Teori pemisahan kuasa tidak akan tercapai matlamatnya sekiranya proses semak dan imbang (check and balance) yang telus gagal dilaksanakan dengan sempurna. Pada pandangan penulis, kunci utama kepada kejayaan proses semak dan imbang adalah dengan cara mengawal dan menghadkan kuasa budibicara (discretionary power) eksekutif. Hal ini kerana, amalan budi bicara yang berlebihan didalam urusan pentadbiran seringkali akan membuka ruang kepada salah guna kuasa.

Agensi-agensi berkanun, termasuklah agensi penguatkuasa haruslah dipertanggungjawabkan secara terus kepada Parlimen bagi menjamin ketelusan dan
integriti badan tersebut. Ini penting bagi mengelakkan salah laku dibelakang tabir yang terjadi diluar pengetahuan massa. Di United Kingdom misalnya, terdapat beberapa badan yang dilantik dan dipertanggungjawabkan terus dibawah pemerhatian Parlimen dan bukannya Perdana Menteri ataupun mana-mana Menteri Kabinet.

Secara teori, badan-badan ini akan lebih bebas beroperasi dibawah naungan Parlimen tanpa dibayangi oleh pengaruh pemerintah. Ini seterusnya akan mendorong badan-badan ini untuk menjadi lebih bertanggungjawab, adil, dan berintegriti dalam melaksanakan tugasannya, apatah lagi sekiranya ianya sebuah badan penguatkuasa undang-undang. Sementara itu, memastikan institusi kehakiman bebas daripada mana-mana pengaruh luar termasuklah eksekutif adalah penting bagi memastikan proses semak dan imbang boleh dilaksanakan dengan baik.

Ini penting kerana institusi kehakiman adalah paksi kepada keadilan dan kesaksamaan di dalam sesebuah negara. Penguatkuasaan undang-undang haruslah dilaksanakan dengan sama rata tanpa mengira darjat atau status seseorang, termasuklah terhadap pemimpin yang mencabul amanah negara. Seterusnya, Parlimen juga harus lebih bebas daripada pengaruh eksekutif dalam melaksanakan fungsinya sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan. Ini juga mustahak oleh kerana badan legislatif berperanan bukan sahaja sebagai penggubal undang-undang, malah sebagai pusat aduan rakyat diperingkat tertinggi.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak-pihak berkewajipan bahawa aduan-aduan rakyat yang disuarakan oleh wakil-wakil mereka disampaikan secara terus dan telus kepada kerajaan di Parlimen tanpa perlu disekat walaupun ianya mungkin bersifat kritikan. Sehubungan dengan itu, penulis berpandangan bahawa cadangan untuk mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen adalah jalan terbaik bagi memperkasakan peranan badan perundangan tersebut di dalam melaksanakan proses semak dan imbang.

Melalui Akta yang dicadangkan, ia akan memberikan lebih kebebasan kepada Parlimen dalam menjalankan urusannya tanpa dipengaruhi ataupun dibelenggu mana-mana pihak. Dalam pada yang sama amalan demokrasi yang subur turut meraikan hak kebebasan media. Namun perlu ditegaskan juga kebebasan disini bukanlah bermaksud kebebasan mutlak, malah media perlu bertindak didalam ruang lingkup undang-undang dan amalan kewartawanan yang beretika. Di dalam sebuah demokrasi, media bukan sahaja berperanan sebagai jambatan informasi diantara pemerintah dan rakyat, malahan juga sebagai estet keempat iaitu pemantau, penegur dan pengawas perjalanan kerajaan dan institusi yang bernaung di bawahnya.

Penutup

Sebagai penutup, penulis menyarankan bahawa konsep pemisahan kuasa haruslah dilaksanakan secara telus dan menyeluruh, dan bukanlah secara terpilih. Walaupun pemakaian konsep ini mampu menguatkuasakan integriti diperingkat atasan, namun penyemaiaan terhadap semangat cintakan integriti dan membenci korupsi haruslah dimulakan di peringkat bawahan. Ini kerana permasalahan integriti bukanlah hanya eksklusif kepada golongan pemimpin semata-mata, malahan turut terpakai di semua peringkat masyarakat.

Dr. Hafidz Hakimi Haron
Pensyarah Fakulti Undang-Undang
Universiti Multimedia
Jalan Ayer Keroh
Melaka