Home Nasional Pemimpin korup perlu ambil iktibar remaja dimandi ala jenazah

Pemimpin korup perlu ambil iktibar remaja dimandi ala jenazah

Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Insiden seorang remaja mencuri tabung masjid dan dimandikan ala jenazah seharusnya dijadikan iktibar bukan sahaja kepada masyarakat umum, sebaliknya kepada pemimpin yang mengamalkan korupsi.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, meskipun penjelasan telahpun diberikan oleh keluarga remaja terbabit berkenaan latar belakang remaja itu, namun perbuatannya harus dijadikan pengajaran oleh pemimpin-pemimpin yang cuba mengambil kesempatan mengkhianati rakyat.

Ini kerana, mereka juga boleh diperlakukan sedemikian sekiranya terus melakukan perbuatan yang melanggar amanah oleh rakyat terhadap mereka.

“Hukuman yang adil perlu dilaksanakan kiranya disabitkan kesalahan. Namun begitu, keadilan yang ditegakkan haruslah dilaksanakan secara menyeluruh.

“Jangan pula cubaan mencuri duit tabung masjid cepat dihukum, tetapi mereka yang disabitkan mencuri duit kerajaan pula dilihat berlegar-legar bebas melakukan apa sahaja.

“Rakyat memerhati tindak-tanduk pemimpin kita…oleh itu, keadilan perlu dilaksanakan tanpa memilih bulu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai video yang menunjukkan remaja terbabit diperlakukan sedemikian oleh kariah masjid, Shahir berkata, hasrat untuk menyedarkan remaja itu daripada khayalannya ekoran pengambilan dadah adalah baik namun, ia telah memberi kesan lain apabila rakaman berkenaan ditularkan.

Katanya, meskipun kariah yang terlibat untuk memandikan remaja itu secara ala-ala jenazah mahu memberikan mesej bahawa perbuatan yang dilakukan olehnya bersifat keji, tetapi ia secara tidak langsung telah mengaibkannya.

“DPIM berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku pada masa hadapan. Hukuman berbentuk mendidik perlu dilaksanakan, bukannya hukuman yang menghina dan mengaibkan orang lain.

“Rakyat yang susah kita bantu, rakyat yang senang perlu membantu. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang sebenar,” tambahnya. – MalaysiaGazette