AMPANG – Kerajaan Malaysia sedang menunggu tarikh sesi perbicaraan di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai isu diskriminasi kepada industri sawit negara yang diajdualkan pada Mac depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).
Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sesi itu untuk pendengaran fakta-fakta remeh yang didakwa oleh negara Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit negara.
“Bulan Mac nanti kita (kerajaan) ke Eropah untuk sesi pendengaran, jadi kerajaan akan datang untuk pendengaran fakta-fakta yang selama ini mereka ambil remeh.
“Kita nak bentangkan kepada mereka satu persatu isu yang mereka tuduh dan kerajaan rasakan tidak berasas.
“Kita akan berikan fakta-fakta dan juga contoh-contoh dan apakah polisi dan peraturan yang kita buat dalam negara ini ,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri seminar pendidikan era pandemik dan pelancaran buku ‘Mari Kenali Sawit’di peringkat Parlimen Ampang, hari ini.
Bagaimanapun, tarikh tepat mengenai pendengaran itu masih belum ditetapkan dan menunggu tarikh sebenar yang akan diterima oleh Pejabat Peguam Negara.
Sebelum ini, sesi pendengaran pertikaian dakwaan diskriminasi minyak sawit itu dijadualkan diadakan pada penghujung Januari ini namun tiada perkembangan mengenainya.
Untuk rekod, Malaysia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada WTO melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian 600 awal tahun lalu.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, Malaysia sepatutnya diberikan peluang untuk menjelaskan pertuduhan-pertuduhan yang dibangkitkan oleh EU sebelum apa-apa tindakan dibuat.
Ini kerana, pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan kepada Malaysia tidak berasas sama sekali.
“Mungkin maklumat ini tidak sampai kepada mereka, jadi kita bersangka baik. Selain itu kita nak dapatkan justifikasi apabila mereka (EU) menuduh kita, kita kira satu tuduhan tidak berasas kerana ia berdasarkan satu dua aduan sahaja.
“Mereka tidak berikan peluang kepada kita untuk jelaskan daripada pihak kita,” katanya lagi.
Pada Oktober 2019 lalu, Malaysia dan juga Indonesia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada WTO.
Tindakan itu bertujuan memerangi cubaan diskriminasi terhadap sumber komoditi utama negara, khususnya dalam kalangan negara EU. – MalaysiaGazette