Home Politik PRN Johor: PAN nak ‘tekan butang’ – Shahrir

PRN Johor: PAN nak ‘tekan butang’ – Shahrir

Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad secara sinis melahirkan rasa kagum dan tersentak dengan kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Salahuddin Ayub yang mengugut untuk menarik sokongan terhadap kerajaan sekiranya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini kerana, veteran UMNO itu berkata, PAN bukan dalam gabungan kerajaan pun.

Jadi, tidaklah terjejas jumlah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan bebas yang membentuk blok kerajaan dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat.

”Mungkin maksud Sallehudin, PAN akan membatalkan sokongan kepada MoU di antara blok pembangkang dengan DS Ismail Sabri. Kalau dibatalkan, maknanya bolehlah PRU15 diadakan sebelum Jun 30, 2022.

“Lebih kurang PAN nak ‘tekan butang’ lah tu. Tapi, dah tanya DAP tak?,” selorohnya.

Dalam kenyataan media hari ini, Salahudin menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk menarik balik sokongannya terhadap memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dua parti antara Pakatan Harapan dan kerajaan sekiranya PRN diadakan.

“Situasi hari ini tidak sesuai untuk rakyat melalui PRN, lebih-lebih lagi isu banjir masih belum selesai dan penularan wabak Covid-19 yang berterusan.

“Mereka (kerajaan) perlu memikirkan rakyat secara serius.

“Jika mereka membubarkan DUN secara melulu, di Johor dan kemudian di Perak atau negeri lain, maka saya boleh menarik balik sokongan saya terhadap MoU yang kita berikan selama ini,” katanya kepada The Star.

Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram, berkata, Pakatan Harapan Johor telah menyokong kerajaan negeri walaupun berstatus majoriti satu kerusi. – MalaysiaGazette