Home Nasional Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung: Penduduk akur arahan pindah

Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung: Penduduk akur arahan pindah

Walaupun sudah empat hari, api masih kelihatan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Pulau Pinang.

NIBONG TEBAL – “Saya tidak tahu asap ini membahayakan kesihatan kami sehingga petang tadi ada agensi kerajaan memaklumkannya selain meminta kami pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” kata salah seorang penduduk Kampung Ladang Byram di sini.

M. Thanlectmy, 60, salah seorang daripada 400 penduduk yang diarahkan berpindah ke PPS susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini sejak 12 Januari lalu.

Thanlectmy.

Kata wanita itu, dia dan 11 lagi ahli keluarga berdepan situasi sukar bernafas susulan bau asap tengik seperti pembakaran plastik dan bahan kimia kira-kira jam 1 tengah hari tadi membuatkan mereka nekad pindah ke PPS walaupun jauh daripada penempatan asal.

“Ini merupakan kali pertama kami perlu keluar akibat pencemaran asap sepanjang 45 tahun tinggal di sini.

“Agensi kerajaan yang hadir pula memberitahu asap ini amat memudaratkan kesihatan khususnya paru-paru jadi saya yang menghidap penyakit tiroid mengambil keputusan untuk pindah.

“Kami harap tempoh pemindahan ini tidak lama kerana lokasi PPS dengan tempat kerja anak saya jauh,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Menurut seorang lagi penduduk, M. Mogan Kumar, 40, asap tebal akan menyelubungi kampung berkenaan secara berkala dan mengikut angin sekali gus menyebakan penduduk sukar bergerak.

Mogan Kumar.

“Tiada seorang dalam kalangan kami tahu asap itu memudaratkan kesihatan sehingga diberitahu petang tadi oleh pihak berkaitan kerana asap itu menyelubungi kami secara berkala sejak 12 Januari lalu.

“Memikirkan kesihatan mertua serta anak-anak saya yang masih kecil kami mengambil keputusan untuk pindah.

“Kami dimaklumkan 10 hari kami perlu tinggal di PPS dan saya harap tidak lebih daripada itu kerana ia menyukarkan urusan harian memandangkan ada antara kami merupakan penternak lembu di kawasan ini,” katanya.

Turut berkongsi pandangan sama, P. Punita berkata, mereka sekeluarga bingung apabila arahan pemindahan diberitahu secara mengejut dan pemindahan perlu dilakukan segera.

Punita.

“Kami faham ia demi kebaikan tetapi pengumuman mereka mengundang kebimbangan kerana sudah berhari-hari kami bau asap ini tambahan pula ibu bapa tidak sihat selain saya mempunyai anak kecil berusia tiga tahun,” jelasnya yang menetap di kampung tersebut sejak 27 tahun lalu.

Pihak bomba termasuk bomba sukarelawan berada di lokasi kejadian bagi melakukan pemadaman api.

Tinjauan MalaysiaGazette pada jam 8 malam tadi mendapati, kira-kira lima jentera bomba termasuk bomba sukarelawan membawa tangki air untuk melakukan pemadaman api.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow meninjau tapak pelupusan sampah terbabit petang tadi melahirkan rasa kesal dengan insiden berkenaan.

“Saya harap pihak berkaitan dapat meningkatkan lagi mutu pengurusan di kawasan itu selain kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan beberapa pihak lain demi menangani risiko pencemaran udara yang dihadapi penduduk sekitar kawasan itu.

“Dalam pada itu, Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai juga telah mengambil keputusan memindah penduduk di dua buah kampung berdekatan kerana masalah pencemaran udara pada kadar segera,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Chow Kon Yeow (baju hijau) meninjau tapak pelupusan sampah petang tadi.

Untuk rekod, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu lalu namun sehingga kini pemadaman secara keseluruhan masih belum dapat dilakukan.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar. – MalaysiaGazette