IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan DAP Perak, Terence Naidu berhubung ada pihak memasukkan dadah dalam minumannya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tersebut sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
“Sampel ujian air kencing telah dihantar ke pihak patologi untuk mendapatkan laporan yang lengkap.
“Kita sedia maklum individu yang terlibat telah membuat laporan polis ada pihak memasukkan dadah dalam minumannya dan kita akan siasat sehabis-habisnya berhubung dakwaan tersebut.
“Sebaik kertas siasatan lengkap baru kita akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan ADUN DAP di Perak, Terence Naidu mengaku beliau adalah wakil rakyat yang ditangkap polis semalam dan saringan air kencingnya positif dadah.
Bagaimanapun dalam satu kenyataan petang tadi, wakil rakyat Pasir Bedamar itu berkata, beliau telah memberi kenyataan beramaran kepada pihak polis tentang situasi sebenar yang membawa kepada penahanannya itu.
Terence yang terkejut ketika dimaklumkan air kencingnya positif dadah memberitahu, beliau telah diundang oleh kliennya untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette