Home Seni Hidup SOP Thaipusam tidak susah, patuh sahaja untuk kebaikan – Penganut

SOP Thaipusam tidak susah, patuh sahaja untuk kebaikan – Penganut

Penganut Hindu, Siva Buniam

BATU CAVES – Perayaan Thaipusam yang bakal disambut penganut Hindu pada 18 Januari ini perlu disambut secara sederhana dalam norma baharu tanpa menjejaskan tradisi mahupun kepercayaan supaya kluster ‘Thaipusam’ dapat dielak kelak.

Rata-rata penganut yang hadir lebih awal bagi membayar nazar kepada Dewa Muruga dengan membawa belanga susu yakin ada banyak kebaikan dalam prosedur operasi standard (SOP) diperkenalkan kerajaan.

Melalui pengamatan MalaysiaGazette sejak jam 7 pagi tadi, keadaan agak lengang dan terkawal dengan kehadiran anggota pasukan keselamatan di semua lokasi bagi mengawal aliran trafik.

Keadaan perkarangan kuil dan di atas kuil Subramaniyar juga kelihatan terkawal, semua penganut mematuhi SOP seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial serta tidak hadir dalam kumpulan yang ramai.

Malah rata-rata mereka terus pulang sejurus selepas melakukan nazar dan ucapan sembahyang, keadaan itu agak berlainan berbanding sebelum ini yang begitu sesak bukan sahaja penganut sebaliknya pelancong serta rakyat tempatan.

Tiada juga kehadiran kanak-kanak dan pengurusan kuil juga pada setiap masa membuat pengumuman supaya para penganut mematuhi semua SOP.

Seorang penunjung, Siva Bunnian yang mula membawa belanga susu dan bernazar sejak 13 tahun lepas menghargai peluang diberikan kerajaan setelah dua tahun penutupan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniyar Batu Caves.

Kata Siva, beliau tidak kisah langsung untuk mematuhi semua SOP termasuklah mendaftar secara dalam talian bagi membawa belanga susu atas alasan mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Ini baik sekali kerana selama dua tahun sebelum ini, kita langsung tidak boleh ke kuil untuk sembahyang. SOP juga amat ketat sekali. Sekarang sambutan ini di benarkan walaupun SOP di peruntuk ini masih lagi ketat.

“Saya juga telah daftar secara atas talian, tunggu giliran dan kemudian datang pagi ini jam 11 pagi untuk naik tangga Batu Caves selesaikan nazar saya. Saya puas hati walaupun perlu ikut prosedur,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Bagi Devan Gurunathan pula, kerajaan telah memberi peluang untuk menyambut Thaipusam demi kepentingan kesihatan bagi bukan sahaja penganut sebaliknya keseluruhan rakyat di negara ini.

thaipusam
Devan Gurunathan

“Pastinya pelbagai analisis dan kajian telah dilakukan sebelum keluar SOP seperti ini. Daripada langsung tidak ada peluang, ini jauh lebih pada pandangan saya. Kita dapat sambut Thaipusam dengan lebih selamat.

“Dengan patuh SOP, kita juga dapat elak diri dari terus sebar virus Covid-19 ini. Nazar kepada Dewa Muruga juga dapat di lakukan,” ujarnya.

Vinod Kumar

Kata Vinod Kumar pula, beliau amat berharap semua pihak akan patuh kepada SOP disediakan supaya tidak ada apa-apa tidak elok terjadi kemudian.

“Kita semua hendak selamat, jadi patuhlah semua SOP ini. Ini untuk kebaikan kita semua,” jelasnya. -MalaysiaGazette