KUALA LUMPUR – Rakyat yang terpilih untuk menjayakan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 diminta memberikan kerjasama untuk membekalkan maklumat pendapatan dan perbelanjaan yang betul dan tepat.
Ini kerana, krisis kesihatan dan ekonomi serta bencana banjir yang berlaku dalam negara, dapatan survei HIES/BA 2022 ini akan menjadi tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar yang berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat.
Di samping itu ia dapat memberikan input yang menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).
Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 yang telah mula dilaksanakan pada 2 Januari lalu dan berterusan hingga Disember 2022 akan mengumpulkan maklumat berkaitan pendapatan, perbelanjaan dan kemudahan isi rumah.
Survei Kemudahan Asas untuk mendapatkan maklumat kemudahan asas yang dicapai oleh rakyat Malaysia manakala Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS/BA) dijalankan dengan kekerapan dua kali setiap lima tahun (bermula dari tahun 1987 dan terkini tahun 2022).
HIS/BA 2022 adalah survei yang ke-20, kata Ketua Perangkawan, Datuk Mohd Uzir Mahidin.
Menurutnya, survei-survei ini dilaksanakan secara saintifik dengan kaedah pensampelan berkebarangkalian yang mana sampel dipilih berdasarkan senarai isi rumah yang dikemaskini secara berterusan dan menjadi asas kepada rangka isi rumah yang menyeluruh meliputi semua negeri mengikut strata kawasan bandar dan luar bandar.
Ianya membolehkan sampel yang dipilih dapat mewakili seluruh populasi isi rumah di Malaysia.
”Secara keseluruhan, survei ini meliputi semua negeri dan kesemua 160 daerah pentadbiran di Malaysia yang melibatkan anggaran sebanyak 92,800 tempat kediaman atau lebih kurang 500,000 orang penduduk.
”Ini bagi membolehkan semua maklumat sama ada berkaitan dengan pendapatan atau perbelanjaan boleh dianalisis sehingga ke domain yang lebih kecil,” katanya semasa pelancaran survei ini hari ini.
Menurut beliau, survei ini amat penting dan memberi banyak manfaat yang boleh dirasai oleh rakyat secara langsung dan tidak langsung.
Maklumat pendapatan isi rumah yang dikumpul digunakan untuk mengkaji pola dan struktur pendapatan isi rumah, mengukur jurang ketaksamarataan pendapatan, mengukur kadar kemiskinan negara; menyediakan maklumat kemudahan asas yang dapat digunakan bagi penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan asas di pelbagai lokasi.
Manakala maklumat pola perbelanjaan digunakan sebagai asas untuk mengenal pasti gelagat pengguna melalui corak perbelanjaan isi rumah dan menjadi asas pengukuran inflasi dan kos sara hidup.
Mohd Uzir berkata, survei HIES/BA terkini sebelum ini adalah pada tahun 2019 dan berdasarkan penemuan, pendapatan purata di Malaysia
pada tahun tersebut adalah RM7,901 dan pendapatan penengah adalah RM5,873.
Pendapatan isi rumah di bandar secara puratanya menunjukkan peningkatan sebanyak 3.9% daripada RM7,671 pada 2016 kepada RM8,635 manakala pendapatan isi rumah purata di kawasan luar bandar meningkat sebanyak 0.8% kepada RM5,004 pada 2019.
Di Malaysia, terdapat tiga kumpulan isi rumah yang utama iaitu kumpulan rumah terendah 40% (B40), pertengahan 40% (M40) dan tertinggi 20% (T20).
Pada tahun 2019, isi rumah B40 berpendapatan kurang daripada RM4,849 dan pendapatan purata (RM3,152) lebih rendah daripada pendapatan penengah (RM3,166).
Selain itu, kumpulan isi rumah M40, merekodkan pendapatan purata sebanyak RM7,348 dan pendapatan penengah sebanyak RM7,093. Bagi isi rumah T20 pula, pendapatan purata adalah RM18,506 dan pendapatan penengah adalah RM15,031.
Dalam konteks kemiskinan, secara purata, pada tahun 2019 Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di peringkat nasional ialah RM2,208 sebulan.
Kemiskinan mutlak di negara secara keseluruhannya telah bertambah baik daripada 7.6% pada 2016 kepada 5.6% pada 2019 namun berdasarkan anggaran semula Pendapatan dan Kemiskinan 2020, kadar kemiskinan meningkat kepada 8.4% kesan daripada krisis ekonomi dan kesihatan yang melanda negara. – MalaysiaGazette