Home Rencana Mandikan cara mayat untuk didik atau biar penagih penggal kepala ibu?

Mandikan cara mayat untuk didik atau biar penagih penggal kepala ibu?

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Sarang Penagih sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 29 MAC 2021.- Gambar hiasan.

ADA dua kes menggemparkan masyarakat melibatkan penyalahgunaan dadah minggu lalu. Kedua-duanya mengundang pelbagai perasaan. Marah, sedih dan simpati.

Kes pertama melibatkan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang telah dihukum oleh masyarakat setempat dengan cara mandi mayat. Remaja yang positif dadah jenis syabu itu dihukum kerana telah mencuri wang dalam tabung sebuah masjid.

Tak sampai selang beberapa hari satu lagi kes melibatkan penagih dadah berlaku. Kali ini melibatkan lelaki berusia 28 tahun yang sanggup memenggal kepala ibunya sendiri berusia 50-an.

Kes penagih memenggal, membunuh dan mencederakan keluarga terutama ibu dan bapa sendiri bukanlah cerita baharu. Ianya adalah tragedi yang berlaku berulangkali.

Kemarahan masyarakat terhadap penagih

Ketika video remaja dimandikan di atas tempat mayat tular di media sosial masyarakat begitu marah dan beranggapan tidak wajar hanya kerana mencuri diperlakukan begitu.

Namun simpati masyarakat berubah apabila mengetahui remaja tersebut penagih dadah. Ramai yang berpandangan bahawa hukuman yang dilakukan oleh masyarakat ke atas remaja terbabit adalah wajar bagi menginsafkan remaja itu.

Menambahkan keyakinan bahawa tindakan komuniti masjid itu adalah betul apabila beberapa hari kemudian berlaku kes seorang penagih memenggal kepala ibu sendiri ketika di bawah pengaruh dadah.

Anggota polis menahan seorang ketika serbuan OP Jihad Dadah yang di jalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 5 NOVEMBER 2021

Salahkah masyarakat bertindak ke atas penagih?

Melihat kes-kes yang berlaku, timbul persoalan adakah salah masyarakat campur tangan terhadap penagih bagi mengelakkan berlakunya tragedi berdarah terhadap keluarganya atau masyarakat.

Ramli Abd Samad

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia Ramli Abd Samad berpendapat apa yang dilakukan oleh masyarakat terhadap remaja berusia 19 tahun itu adalah sesuatu yang menyedihkan bagi dirinya.

“Sebab saya tahu, kerana ada kerjasama dengan NGO. Kita bukan hanya ada pemberi perkhidmatan daripada orang Islam. Kita juga ada pemberi perkhidmatan seperti gereja. Mereka ini lebih berperikemanusiaan.

“Dia tahu orang ini sakit, orang ini tidak betul, apa perlu kita buat? Kita hukum macam-mana pun tak akan mengubah keadaan.

“Kadangkala saya terkilan. Inikah gambaran kita orang Islam? Di manakah kasih sayang kita? Di mana rahmah? Di mana sifat ihsan kita. Sudah tidak ada. Kita mahu menghukum sahaja,” katanya penuh kesal kepada MalaysiaGazette.

Beliau juga kesal dengan reaksi masyarakat terhadap kes kedua yang melibatkan anak yang memenggal kepala ibunya sendiri.

Tak kena keluarga sendiri bolehlah cakap

Tegasnya dengan hanya menghukum tidak akan membantu situasi penagihan dadah yang mencatatkan 24,000 penagih baharu setiap tahun.

“Begitu juga dalam kes pancung mak dia. Memang tak betul perbuatan dia. Memang tak boleh direda sama sekali. Tetapi jangan lupa setiap kali keadaan ini berlaku kita ambil tindakan yang sama.

“Kita tidak ada langkah pencegahan. Kejadian ini akan berulang-ulang. Ini bukan kes pertama. Sebelum ini ada kes bunuh anak, bunuh isteri, bunuh datuk. Sebab ini memang adalah kesan pengambilan dadah.

“Walhal pengambilan dadah itu masih lagi banyak. Pencegahan tidak mencukupi. Itu sebab orang yang tidak tahu kesan dadah akan mengambil dadah. Kedua isu bekalan. Kedua-dua harus ditangani,” tegasnya.

Tambah Ramli, individu yang mengambil dadah perlu dikategori sebagai pesakit yang perlu diberikan rawatan segera. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan banyak negara telah mengklasifikasikan penagih sebagai pesakit.

Katanya, dengan rawatan yang betul, seorang penagih dadah boleh pulih dan baik. Sekaligus menghalang penagih daripada menjadi gila dan membunuh orang.

Justeru, sudah sampai masanya masyarakat mengambil pendekatan untuk menyelamat dan bukan menghukum.

Seorang penjawat awam antara 24 individu tempatan ditahan terlobat penyalahgunaan dadah dengan menjadikan sebuah ladang kelapa sawit Felda di Bentong Pahang sebagai sarang mereka diserbu polis.- Foto ihsan IPD Bentong

“Mungkin mereka tangkap penagih ini, kalau dia mencuri, ok dia kena hadapi hukuman penjara. Pada masa sama dia menagih. Habis hukuman mencuri dia perlu menjalani rawatan dan pemulihan.

“Kita Pengasih, sanggup membantu dia. Kalau dia keluar, datang ke Pengasih kita akan bantu. Sebab kami tahu, kalau kami tidak tolong dia, siapa lagi yang akan tolong dia. Ramai yang mahu menghukum sahaja.

“Mereka yang menghukum ini bolehlah cakap, sebab tak kena pada anak dia, tak kena pada adik dia, tak kena pada ahli keluarga dia. Cuba kena pada ahli keluarga dia? Sanggupkah dia buat begitu,” tanya Ramli.

Hakikatnya menurut Ramli, tidak ada satu pun insan yang waras mahu menjadi penagih dadah.

Penagih masih ada harapan untuk pulih

Penggunaan dadah jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) atau dadah perangsang seperti syabu, ice, kristal adalah paling tinggi dikesan terhadap mereka yang mendapat rawatan di Pengasih.

Siti Liya Nashita Zulrani

Menurut Exco Pengasih, Siti Liya Nashita Zulrani, pengunaan dadah jenis sintetik ini memberi kesan psikosis, halusinasi, agresif dan tekanan perasaan.  Mereka dikategorikan sebagai penyakit otak kronik berulang (Chronic Relapsing Brain Diseases).

“Bila kita cakap penagihan ini, semua rawatan kena fokus kepada pendekatan psikologi. Sebab itu kita katakan penagihan dadah ini sejenis penyakit kronik kerana perlukan rawatan doktor.

“Bila Chronic Relapsing Brain Diseases bermakna penyakit kronik ini tidak akan hilang. Cumanya selepas mendapat rawatan penghidap sudah tahu bagaimana untuk urus penyakit tersebut.

“Dia tahu apa yang mencetuskan ketagihannya, apa yang boleh menyebabkan dia berulang, dia boleh urus diri sendiri untuk elak daripada menagih semula,” katanya.

Dadah yang dirampas oleh polis. – Foto AFFAN FAUZI, 22 OKTOBER 2021.

Sejak tiga tahun lalu Pengasih berjaya merawat dan menyelamatkan kira-kira 500 orang penagih setiap tahun.

Persatuan itu mempunyai enam buah rumah rawatan dan pemulihan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Perak dengan jumlah keseluruhan pesakit yang menerima rawatan seramai 245 orang.

Siti Liya Nashita meminta masyarakat agar lebih memahami dan bekerja bersama untuk menyediakan bantuan yang betul kepada golongan penagih.

Ini kerana golongan itu perlukan harapan untuk pulih dan kembali kepangkuan keluarga dan masyarakat. Menghukum sahaja tanpa membantu tidak akan memberi kebaikan kepada sesiapa pun.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.