Home Pendapat Naluri kemanusiaan di celah-celah musibah

Naluri kemanusiaan di celah-celah musibah

Penduduk berjalan meredah banjir berikutan hujan berterusan sejak semalam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2021.

MUSIBAH datang untuk memuhasabah insan. Di celahan jerlus lumpur, air bah yang mengganas, rumah-rumah yang hancur lebur, jalan-jalan yang sudah tidak kelihatan lahir jiwa-jiwa insan yang terus menerobos akar umbi mengembalikan harapan kemanusiaan. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) terus menggerakkan jenteranya menyantuni mangsa dari hari pertama perkhabaran musibah diterima.

Sinergi lima institusi di bawah pertubuhan ini iaitu Yayasan IKRAM Malaysia (i-Bantu), Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Hidayah Centre Foundation (HCF), Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) dan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) terus merancakkan lagi gerak kerja untuk membantu ahli-ahli dan masyarakat yang terjejas.

Ahli-ahli pertubuhan ini yang datang dari pelbagai latar belakang terus turun melakukan kerja-kerja islah membantu masyarakat yang diuji musibah banjir di serata Malaysia, tidak terkecuali di Pahang. Catatan ini menyoroti sebahagian pengalaman para sukarelawan di Pahang yang turun padang membantu insan-insan pilihan Tuhan yang diuji dengan musibah banjir, mengambil iktibar nilai-nilai kemanusiaan yang hadir di celahan musibah.

Rasai keperitan insan

Menurut Puan Khadijah Atan, seorang pesara guru, naluri dan semangat kesukarelawanan hadir meskipun beliau dan suami bukanlah seorang jutawan, tetapi kerana merasai denyut nadi keperitan insan yang diuji. “Mereka yang diuji adalah saudara sendiri yang dihubungkan oleh jalur kemanusiaan,”
jelasnya.

Tambahnya, beliau juga ingin merasai peluang dan relung amal yang dibuka luas oleh Tuhan, iaitu peluang untuk mendapatkan syurga yang seluas langit dan bumi terbuka luas di celahan musibah buat mereka yang berbakti, mengambil inspirasi daripada ayat 245 Surah al-Baqarah. “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda
banyaknya?”

Menurutnya, beliau diberikan sedikit tenaga, masa dan kesihatan untuk menyumbang dan membayangkan betapa indahnya mendapat doa-doa daripada insan pilihan Tuhan yang diuji dengan musibah yang berat. ”Sering kali juga saya merasakan, usaha yang saya dilakukan masih sedikit dibandingkan dengan pertolongan yang diberikan oleh sahabat-sahabat lain”. Ujarnya, kalam Tuhan berkenaan berlumba-lumba mengejar kebaikan (fastabiqul khairat) menyuntik semangatnya untuk terus memberi.

Peluang melatih diri

Di sisi lain, seorang pensyarah perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Aszrin Abdullah yang turut aktif dalam gerak kerja kemanusiaan melebihi puluhan tahun berkongsi pengalaman hidupnya sendiri yang menjadi pelajaran besar baginya memotivasi diri membantu insan lain. Berasal dari keluarga B40, Dr Aszrin pernah merasai keperitan hidup tanpa kenderaan dan merasai baju baru cuma sehelai setahun.

”Pengalaman semasa dihimpit tekanan kewangan semasa menemani suami menyambung pengajian di Australia sering kali memberi muhasabah kepada saya untuk merasai denyut nadi keperitan insan lain,” katanya. Menurutnya, berada dalam NGO IKRAM, beliau banyak didedahkan dan diberi peluang melatih diri memberi khidmat bakti melalui agensi-agensi IKRAM seperti IKRAM Health, i-Bantu dan Malaysians Against Pornography (MAP).

Sebagai pensyarah perubatan, ujarnya, beliau sibuk dengan pelbagai urusan membangunkan kerjaya, namun jiwanya yang selembut salju berkongsi tip untuk
menyeimbangkan kerjaya dan kehidupan sebagai aktivis kemasyarakatan adalah dengan merancang masa dengan baik. ”Saya merancang awal aktiviti kehidupan bulanan dan mingguan dengan membahagikan masa kepada empat bahagian iaitu medan NGO atau aktiviti kemasyarakatan, keluarga, karier dan juga penjagaan diri (self-care),” jelasnya.

Suntikan rasa untuk berbakti

Seorang lagi pensyarah UIAM, Dr Bisha Fathamah Uzir yang juga aktif menyantuni kanak-kanak juga berkongsi rasa bahawa kegembiraan ikhlas dan wajah tulus kanak-kanak seringmenyuntik rasa untuk terus memberi. Beliau juga diuji Tuhan dengan kesusahan semasa kecil, namun beliau dididik untuk tidak
meminta meskipun layak. Beliau mengerti bahawa di sana ramai yang malu meminta meskipun diuji derita dan bantuan yang diberikan adalah sungguh bermakna.

Di celahan kesibukan, beliau sungguh memberi inspirasi dengan mengungkapkan: “Masa juga adalah milik Allah, dan sebagai manusia, kita perlu berdoa meminta kelapangan masa dan pasti Allah hadirkannya dalam segala bentuk dan ruang yang mampu dipenuhi”.

Aktif kemasyarakatan demi keredaan

Seorang guru, Norakhmar Muhammad yang juga merupakan Ketua Wanita IKRAM Pahang sering memperbaharui niatnya membantu masyarakat adalah untuk mendapat keredaan Tuhan semata-mata. Beliau meyakini gerak kerja berkumpulan berbanding aktiviti solo kerana merasakan ia adalah lebih tersusun dan sistematik. Menurutnya, semua aktivis adalah seperti batu-bata yang saling melengkapi dan memiliki kelebihan masing-masing.

Dengan sifat keibuan yang tinggi, beliau menasihati, usah merasakan amal yang besar sebagai besar, dan amal yang kecil sebagai kecil. “Buatlah seikhlas hati kerana Tuhan juga yang akhirnya menilai setiap amal dan sebagai manusia yang kerdil rebutlah dan lakukan yang terbaik dalam setiap peluang relung amal dengan penuh ihsan dan keikhlasan,” pesan beliau.

Beliau juga merasakan sinergi antara mereka yang muda dan yang lebih senior akan membantu gerak kerja dengan lebih baik lagi terutamanya pada era teknologi moden ini.

Kesibukan bukan alasan

Julianti Kasim, seorang guru juga aktif bersama membantu kerja-kerja kemanusiaan. Beliau tidak menjadikan kesibukan sebagai alasan meskipun bergelar ibu, guru dan juga menjawat jawatan Timbalan Ketua Wanita IKRAM Pahang. Kesibukan mengurus karier, keluarga dan kerja kemasyarakatan menjadikan beliau lebih matang mengurus kehidupan. Turut mesra dengan panggilan Kak Husna, beliau merasakan dalam dirinya suatu rasa unik yang sering menjentiknya untuk membantu mereka yang diuji semampunya.

Malah sering kali beliau merasakan bahawa ia adalah satu tanggungjawab yang bakal dipersoalkan kelak di akhirat. Ayah beliau adalah qudwah dan contoh tauladan yang baik untuk dirinya. “Kehidupan yang sukar dan cara ayah bersusah payah mencari rezeki dan dalam celahan keperitan sendiri masih berusaha membantu yang lain, menjadikan saya juga mencuba untuk menyumbang sedaya mampu,” kata beliau.

Naluri berbagi yang tinggi

Seorang lagi pensyarah muda dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, yang juga kini menyambung pengajian PhD, Najib Razali juga sering meluangkan masa dalam kerja-kerja kesukarelawanan. Beliau mengingatkan bahawa definisi ‘sukarela’ menurut Kamus Dewan adalah kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah dan dengan rela hati.

“Musibah bukan hanya diturunkan untuk mereka yang diuji dengan banjir, malah nikmat juga adalah ujian yang akan dipersoalkan di akhirat kelak,” katanya.
Menurutnya, beliau banyak merasai kebaikan dan nikmat Tuhan dalam kehidupan dan sering memiliki naluri untuk berbagi yang tinggi.

Tidak kurang juga ada aktivis di luar negara seperti Chena Abdullah yang menyumbang tenaga sebagai koordinator sukarelawan meskipun jauh di benua Jepun. Dr Nadzirah Basri, seorang pakar psikologi klinikal juga memberikan khidmat berupa bantuan psikospiritual dalam membantu memulihkan trauma mangsa banjir.

Kebajikan fokus IKRAM

Menurut Yang Dipertua IKRAM Pahang, Suhaimi Mohd Aripin, IKRAM adalah sebuah NGO yang sentiasa fokus dan istiqamah dalam misi kebajikan, dakwah dan pendidikan. “Musibah banjir kali ini sungguh menginsafkan, dan pastinya dengan izin Allah jua IKRAM Pahang mampu menyalurkan bantuan dan sumbangan buat mereka yang teruji,” kata beliau.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang berusaha sedaya mampu memberikan sumbangan tenaga, bahan keperluan, wang ringgit dan juga alatan kebersihan.

Di samping itu, keredupan ukhwah terus dirasai dengan kehadiran ahli IKRAM dari serata Malaysia seperti Johor, Perak, Perlis, Terengganu, Kedah dan lainnya yang turut turun membantu. Begitulah sedikit bingkisan daripada beberapa sukarelawan yang sudi berkongsi pengalaman menyantuni masyarakat. Pastinya di sana, mereka adalah sebahagian daripada gagasan besar kemanusiaan yang melangkaui sempadan negeri, bangsa dan agama.

Ada juga yang berterusan berada di medan dan membiarkan amal berbicara. Namun perkongsian yang sedikit ini diharap terus meloncakkan motivasi dan semangat untuk terus memaknai bahawa erti hidup adalah memberi.

Melalui perkongsian pengalaman mereka, benarlah kalam Tuhan dalam Surah al-Baqarah ayat 177 untuk mereka yang mahu mengambil pedoman.
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa”.

Dr Ummu Afeera Zainulabid
Ahli Jawatankuasa Advokasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia