PELAJARAN itu kebiasaannya mendidik akal tetapi yang menundukkan jiwa, membina peribadi bersifat tanah yang sering merendah dan lapang, sekalipun teguh dan tegak berdiri di tempat tinggi, itu pendidikan namanya. Pendidikan tinggi khususnya, seharusnya membumikan sifat keterbukaan, kesukarelawanan dalam diri mahasiswa agar dekat dengan masyarakat.
Secara ringkasnya, inilah pendidikan yang bersifat kemanusiaan. Manakala pendidikan yang mengebumikan nilai-nilai ini, adalah tanda universiti akan hanya menjadi kilang pengeluar graduan yang pandai membaca kitab, tetapi dangkal membaca masyarakat. Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam cetusan fikiran terbarunya menekankan bahawa permasalahan dalam komuniti dapat diselesaikan dengan sifat pendidikan yang mendidik mahasiswa ke lapangan melalui penglibatan secara langsung dalam masyarakat.
Beliau percaya institusi pendidikan tinggi perlu bertindak sebagai pemandu dan nakhoda dalam memanusiakan pendidikan. Kesukarelawanan bukan sesuatu yang asing dan janggal dalam kalangan mahasiswa UIAM. Gagasan ‘Memanusiakan Pendidikan’ mudah menyerap dalam peribadi mahasiswa lantaran mahasiswa yang sudah sedia bersifat pro-masyarakat.
Pada 25 Disember 2021, Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) IIUM Gombak telah menganjurkan aktiviti kesukarelawanan untuk membantu mangsa banjir yang mana 40 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia turun padang untuk kerja kesukarelawanan tersebut di Kampung Orang Asli Bukit Tampoi.
Kumpulan sukarelawan ini melengkapkan kumpulan pertama yang tiba ke kampung tersebut, dengan bantuan kelengkapan untuk tugas-tugas membersihkan disediakan oleh Angkatan Belia Islam (ABIM) Selangor. Ketibaan kami disambut baik, sepanjang keberadaan dari pagi sampai petang.
Alangkah besar jiwa penduduk kampung yang melayani sukarelawan dengan baik, meskipun rumah dan tempat tidur mereka ditenggelami air banjir. Kemusnahan harta benda usah dikata. Benar, air telah surut dan keadaan beransur baik tetapi ia tetap meninggalkan parut yang mendalam buat tuan rumah – kerosakan barang-barang dan kehilangan jiwa insan yang tersayang serta haiwan peliharaan.
Kerja-kerja pembersihan sememangnya bukan mudah dan kurang mesra rehat. Namun kelegaan terpancar apabila rumah mangsa banjir kembali bersih daripada sisa lumpur dan semestinya ia dapat mengatasi kelelahan semasa dan pasca kerja pembersihan. Universiti tidak boleh menjadi satu simbol ironi, di mana kertas kajiannya mengkaji masyarakat tetapi mahasiswanya jauh daripada masyarakat.
Aktiviti kesukarelawanan sebegini merupakan manifestasi kepada pegangan “mahasiwa untuk masyarakat” apabila universiti memainkan peranan sebagai satu institusi yang membangunkan peribadi dan membina sahsiah mahasiswa melalui pendidikan. Gagasan-gagasannya yang mendidik mahasiswa untuk turun ke lapangan dan memecahkan tembok hegemoni etlitis universiti yang dibina daripada kertas-kertas kajian yang sayang sekali dibiarkan tidur sahaja di perpustakaan padahal ia menganalisis kelompok manusia.
Mahasiswa harus dibiasakan dan terbiasa dengan masyarakat. Dua entiti ini berbeza tetapi harus sentiasa dekat. Idea ‘Humanising Education’ atau ‘Memanusiakan Pendidikan’ wajar diterjemahkan dalam realiti mahasiswa dan masyarakat agar roh kesukarelawanan terus hidup dalam jiwa mahasiswa Taman Ilmu dan Budi.
Nur Hakimah Sakeenah Mohd Zaini
Majlis Perwakilan Kolej Kediaman
Mahallah Sumayyah
UIAM, Gombak