KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN menerusi Sukses Sifu menyedari kepentingan perniagaan dalam talian atau e-dagang kini menjadi norma baharu ketika pandemik Covid-19.
Presidennya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, menerusinya platform baharu telah melahirkan ramai usahawan berjaya dalam perniagaan dalam talian.
“Benda ini baru berlaku dan betul-betul meletop sejak dua tahun ketika musim Covid-19. Sebelum ini kita tak peduli dan tak terikut dengan ledakan e-dagang dan perniagaan dalam talian.
“Kerana Covid-19, ada sekumpulan usahawan yang muncul tiba-tiba, sama ada mereka merancang atau orang muda ini memang menguasai pasaran,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Terdahulu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar merasmikan Majlis Makan Malam dan Pelancaran Semula 1001 Minda Jutawan oleh Sukses Sifu anjuran Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN.
Sohaimi juga berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) untuk merebut peluang ini yang kini dikuasai golongan muda.
“Sebab itu sebahagian sifu-sifu malah ramai orang muda kerana mereka ini buat jutaan ringgit daripada e-dagangan jni. Mereka menggunakan sistem, kemahiran dalam e-dagang itu pandai buat pemasaran dalam talian dan ia menjadi satu kebiasaan norma baharu.
“Sebab itu kita sokong dasar MEDAC di mana kita melengkapi, kita bukan nak bersaing dengan sesiapa nak melengkapi antara satu sama lain,” katanya.
Beliau akui pihaknya terlepas pandang ruang perniagaan baharu itu dan kerjasama dengan MEDAC mampu meneroka e-dagang yang boleh memberi manfaat kepada usahawan tempatan.
“Sifu ini batch kedua, ramai muda-muda dan dalam dua tahun ini muncul jutawan baharu yang tak pernah highlight, tapi jenis ada follower berjuta, beratus ribu, jual satu benda 10 minit habis.
“Itu yang kita tengah tengok itu yang terlepas pandang di mana kumpulan baharu yang kita boleh bangunkan dan kita ambil ilmu mereka juga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette