Home Utama Tidak perlu risau jika alami masalah RFID, ada kakitangan PLUS bantu

Tidak perlu risau jika alami masalah RFID, ada kakitangan PLUS bantu

Petugas PLUS menguruskan pengguna jalan raya yang tidak dapat melepasi laluan sistem Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan.

Bahkan, jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma, kata PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, PLUS menghargai maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap isu kesesakan yang timbul di plaza tol dan telah mengambil tindakan untuk penambahbaikan berdasarkan maklum balas ini.

Ia juga telah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol, serta meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

Katanya, PLUS mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan sebanyak 10% transaksi RFID selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari 2022 di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu lalu.

PLUS mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang telah berhijrah ke RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaan tersebut. – MalaysiaGazette