Home Nasional Bomba guna kaedah pengeboman air dari udara padam api pelupusan sampah

Bomba guna kaedah pengeboman air dari udara padam api pelupusan sampah

Pihak bomba menggunakan kaedah water bombing bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal hari ini.

NIBONG TEBAL – Bomba menggunakan kaedah pemadaman dari udara bagi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Hafiz Hafizal Timaradin berkata, operasi itu dijalankan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang dan JBPM Pulau Pinang.

Jelas beliau, proses pemadaman dibuat di lokasi titik panas berdasarkan termal imej yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Keadah pengeboman air dari udara (water bombing) dilakukan bermula jam 11 pagi tadi menggunakan helikopter AW 189 dari Pangkalan Udara Subang.

“Sebelum ini kawasan kebakaran hampir 70 peratus namun lima peratus sudah berjaya dipadamkan setakat hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, sehingga kini 10 keluarga membabitkan 44 individu berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak Ahad lalu.

“Lapan keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah manakala dua keluarga berada di SK Bakap Indah.

“Tiada penambahan keluarga setakat ini dan keadaan di kedua-dua PPS juga dilaporkan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. – MalaysiaGazette