KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur dua buah hotel bajet yang dipercayai menyajikan gadis Thailand sebagai pelacur menerusi Op Gegar di Subang Jaya, malam tadi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 14 individu warga asing ditahan dalam serbuan itu membabitkan 12 wanita warga Thailand, seorang wanita Myanmar dan seorang lelaki warga Britain.
Menurut beliau, operasi tersebut dijalankan secara serentak ke atas kedua-dua buah hotel bajet kira-kira pukul 8.45 malam.
“Kesemua individu yang ditahan itu berusia di antara 21 hingga 69 tahun, manakala tiga pelanggan lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Berdasarkan risikan, kita dapati premis ini dikunjungi pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan asing dengan menggunakan pakej perkhidmatan seks yang ditawarkan dengan harga RM200 sehingga RM270 bagi tempoh masa 45 minit.
“Sementara bagi servis ‘out call’ pula, pelanggan perlu membayar RM950 bagi langganan bermula pada pukul 10 malam sehingga pukul 7 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pelanggan perlu memilih wanita yang ingin dilanggan dengan membuat tempahan terlebih dahulu melalui laman web atau aplikasi Telegram.
Jelas Khairul Dzaimee, ketika serbuan dijalankan, kesemua wanita warga asing itu didapati tidak memberikan kerjasama selain enggan membuka pintu bilik.
“Ada juga wanita warga asing yang cuba membuat provokasi dengan memberikan pelbagai alasan untuk melepaskan diri,” ujarnya.
Katanya lagi, hasil pemeriksaan lanjut di premis berkenaan turut menemui sejumlah kondom dan cecair pelincir bagi tujuan layanan seks.
Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil bagi siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette