Home Sukan Lagi pemain muda Indonesia sertai Liga Slovakia

Lagi pemain muda Indonesia sertai Liga Slovakia

Witan Sulaeman. Foto CNN Indonesia.

KUALA LUMPUR – Seorang lagi pemain muda Indonesia, Witan Sulaeman berhijrah dengan menyertai kelab Liga Slovakia, FK Senica setelah menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020, baru-baru ini.

Pemain sayap kanan berusia 20 tahun itu bakal beraksi bersama rakan sepasukan di skuad Garuda iaitu Egy Maulana Vikri.

Berita itu dikongsikan oleh Asean Football di laman media sosial Twitter yang mana Witan menyertai Senica secara pinjaman dari Lechia Gdansk, kelab yang juga diwakili oleh Egy Maulana selama dua musim sebelum berpindah ke Senica.
Sejak beraksi bersama Lechia, Witan hanya beraksi dalam lima perlawanan bersama skuad pembangunan kelab, sekaligus kurang mendapatkan minit bermain dan perkara ini dipercayai menjadi faktor utama mengapa pemain itu memilih untuk menyertai Senica, selain faktor adanya Egy di kelab itu.

Witan menjadi pilihan ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong ketika saingan Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Singapura pada tahun lalu dan dia menampilkan gandingan yang cukup baik bersama ketua pasukan, Asnawi Mangkualam.

Dia menampilkan prestasi cemerlang yang mana beliau menjaringkan dua gol sepanjang saingan dan membantu Indonesia mara ke perlawanan akhir buat kali keenam dalam sejarah pertandingan.

Namun, nasib sekali lagi tidak menyebelahi Indonesia apabila mereka tewas kepada Thailand dengan keputusan agregat 6-2 sekaligus terpaksa menelan hakikat pahit dengan menjadi naib juara buat kali keenam.

Sebelum ini, Witan pernah beraksi bersama kelab Serbia, Radnik Surdulica dan beliau dilihat tidak akan berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana mempunyai pengalaman beraksi di saingan bola sepak Eropah.

Gandingan Egy dan Witan dilihat mampu untuk membantu Senica untuk mempamerkan prestasi yang baik kerana kedua-dua pemain sudah mengenali corak permainan satu sama lain.

Sebelum beraksi dalam skuad senior, Witan dan Egy pernah beraksi bersama skuad B-19 dan B-22 tahun Indonesia dan kedua-dua pemain telah membantu Indonesia salam temasya besar seperti AFF B-19 dan Sukan SEA. – MalaysiaGazette

https://twitter.com/theaseanball/status/1483240400924332032?ref_src=twsrc%5Etfw