Home Nasional Lelaki meninggal dunia di meja restoran akibat sakit jantung kronik

Lelaki meninggal dunia di meja restoran akibat sakit jantung kronik

Gambar yang tular menunjukkan seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di meja makan restoran di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Doktor mengesahkan lelaki yang ditemui tidak sedarkan di meja makan sebuah restoran di Bukit Sentosa, Hulu Selangor hari ini, meninggal dunia kerana penyakit jantung kronik.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, isteri mangsa juga mengesahkan suaminya menghidap penyakit jantung dan darah tinggi sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

Menurutnya, Balai Polis Bukit Sentosa menerima satu laporan daripada pekerja restoran berkenaan sekitar pukul 7 pagi tadi memaklumkan seorang lelaki tempatan yang bekerja di sebuah kilang didapati tidak sedarkan diri.

Penolong Pegawai Perubatan dari Klinik Kesihatan Serendah kemudiannya mengesahkan lelaki berusia 54 tahun itu telah meninggal dunia.

Arsad berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi menjalani ujian Covid-19 dan bedah siasat.

“Hasil keputusan ujian Covid-19 didapati negatif dan doktor telah mengesahkan punca kematian adalah disebabkan sakit jantung kronik,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Arsad, polis juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Oleh itu, beliau menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mangsa di restoran berkenaan yang telah tular di media sosial.

Sementara itu, isteri mangsa, Rabunah Abdul Rashid, 49, turut merayu kepada orang awam supaya menghentikan penyebaran berita yang tidak tepat mengenai punca kematian suaminya.

Jelas Rabunah, suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam itu telah menerima dos penggalak pada 12 Januari lalu dan tidak menunjukkan sebarang simptom serius kecuali lenguh pada lengan.

“Apabila dimaklumkan oleh pihak polis mengenai dakwaan itu, saya terkejut kerana sama sekali tidak menyatakan dalam laporan bahawa kematian suami ada kaitan dengan dos penggalak,” katanya yang menetap di Apartmen Sri Cempaka, Bukit Sentosa.

Terdahulu, tular di laman Facebook apabila sebuah akaun Ummat Akhir Zaman memuat naik gambar di lokasi kejadian dan mendakwa mangsa meninggal dunia akibat sakit jantung dan baru sahaja menerima suntikan dos penggalak. – MalaysiaGazette