GEORGE TOWN – Ribuan pengguna ‘Penang Smart Parking’ (PSP) mengalami gangguan termasuk baki yang dipaparkan berbeza dengan jumlah baki sebenar, sejak awal pagi tadi.
PSP dalam satu kenyataan di Facebook berkata, pihaknya kini sedang menghadapi beberapa isu teknikal dan pasukannya sedang meneliti isu terbabit.
Selain itu, PSP juga meminta pengguna supaya tidak bimbang berhubung baki eWallet yang dipapar ‘RM4.40’ dalam aplikasi tersebut.
“Pihak kami akan menyelesaikannya isu teknikal ini secepat mungkin dan eWallet pengguna kekal selamat dan bakinya masih utuh.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku dan sedang berusaha keras bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya hari ini.
Terdahulu, laman Facebook PSP dibanjiri aduan pengguna mengenai masalah berkenaan yang mendakwa aplikasi mereka menunjukkan baki RM4.40 sehingga menyebabkan sukar membuat pembayaran parkir dan bimbang dikenakan tindakan saman.
Menurut Abu Latif, 41, dia bimbang dikenakan saman oleh majlis bandaraya kerana meletakkan kenderaan tanpa sebarang bayaran.
“Saya harap MBPP dan MBSP beri pengecualian untuk hari ini termasuk tidak mengeluarkan sebarang saman kerana bukan pengguna tidak mahu buat pembayaran parkir tetapi sistem yang mengalami gangguan,” katanya ringkas.
PSP adalah inisiatif kerajaan negeri terhadap sistem parkir berdasarkan aplikasi telefon pintar di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang diperkenalkan sejak 2019. – MalaysiaGazette