KUALA LUMPUR – SME Bank memberi penangguhan bayaran selama enam bulan kepada 59 orang pelanggannya yang terkesan dengan bencana banjir melibatkan nilai pembiayaan sebanyak RM146 juta di bawah Program Bantuan Banjir SME Bank.
Selain itu, SME Bank juga telah menyalurkan sumbangan bernilai lebih RM100,000 melalui kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Islamic Relief Malaysia (IRM).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, tempoh tamat penangguhan bayaran untuk kesemua 59 orang usahawan PKS yang layak ini adalah pada bulan September 2022.
Jumlah usahawan yang terlibat mungkin akan bertambah berdasarkan bilangan pelanggan yang akan terjejas sekiranya berlaku lagi bencana banjir di masa yang terdekat ini.
Di samping itu, SME Bank turut memberikan pengecualian bayaran sewa melibatkan 41 unit kilang usahawan PKS di Kompleks Premis Usahawan SME Bank Shah Alam yang turut terlibat dalam bencana ini.
Inisiatif pengecualian bayaran sewa yang berjumlah RM230,000 ini adalah untuk tempoh selama dua bulan bermula Januari 2022 hingga Februari 2022.
SME Bank juga turut menawarkan pelbagai bantuan pembiayaan yang bersesuaian kepada keluarga usahawan yang terkesan banjir.
Noh menambah, Program Bantuan Banjir SME Bank ini telah dibuka dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Mac 2022.
Oleh itu, semua pelanggan SME Bank yang memerlukan bantuan disebabkan banjir digesa menghubungi pihak SME Bank dengan kadar segera. – MalaysiaGazette