Home Nasional Tak patuh SOP, 76 pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah positif Covid-19

Tak patuh SOP, 76 pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah positif Covid-19

Dr Muhamad Akmal Saleh Pulau Gadong Covid-19 cluster Melaka state election tahfiz centre madrasah Kolej Vokasional Melaka Tengah Covid-19 cluster Jalan Tun Telani Cluster students vocational college HFMD hand foot and mouth disease infectious
Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Seramai 76 pelajar Kolej Vokasional Melaka Tengah, Bukit Katil, di sini, dikesan positif Covid-19 yang dipercayai berpunca daripada ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, susulan itu, institusi pendidikan berkenaan telah diarah tutup sejak 14 Januari lalu sehingga Jumaat ini.

Menurutnya, setakat semalam, pelajar yang positif terdiri daripada 71 lelaki dan lima pelajar perempuan hasil saringan yang dilakukan terhadap 176 kakitangan kolej sejak 14 Januari lalu.

Hasil keputusan saringan kesemua kontak rapat setakat semalam mendapati 76 positif, 97 negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Kes pertama dikesan daripada seorang pelajar perempuan yang mana pelajar ini kembali ke kolej pada 9 Januari lalu dan mula bergejala tiga hari kemudian.

“Penularan kes dipercayai berlaku kerana pesakit yang bergejala masih hadir ke kelas, sebelum merebak kepada rakan-rakan yang lain.

“Penilaian risiko juga mendapati kemungkinan besar berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat berisiko seperti di surau dan bilik asrama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, susulan itu kolej vokasional berkenaan diarah tutup selama lapan hari sehingga Jumaat ini dan diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Tun Telani oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula semalam.

Kerja-kerja disinfeksi, katanya, telah dilakukan oleh pihak bomba bermula pada pada 14 Januari lalu dan sentiasa dipantau oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah. – MalaysiaGazette