Home Nasional 35 peratus api tapak pelupusan sampah dipadamkan

35 peratus api tapak pelupusan sampah dipadamkan

Bomba berjaya padamkan kebakaran sebanyak 35 peratus di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL – Bomba setakat semalam berjaya memadamkan sebanyak 35 peratus daripada kebakaran kawasan seluas 6.5 hektar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini yang dilaporkan sejak 12 Januari lalu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata, selain kaedah pengeboman air (water bombing), pihaknya juga menggunakan tanah untuk melemahkan api sekali gus mengawal kebakaran tersebut daripada merebak.

Mohd Hafiz Hafizal.

Jelasnya, kaedah itu diguna pakai susulan pihak bomba berdepan kesukaran memadamkan api di tapak pelupusan itu susulan api masih marak di permukaan bawah tanah.

“Pasukan bomba terpaksa memanjangkan nozel ketika melakukan proses pemadaman kerana ia berisiko kepada anggota kami sekiranya melakukan pemadaman pada jarak dekat.

“Jadi setakat ini, kebakaran di kawasan tersebut berjaya dipadamkan sebanyak 35 peratus sekali gus kawasan kebakaran sudah berkurangan kepada empat hektar berbanding 6.5 hektar pada hari pertama kebakaran berlaku.

“Kita juga yakin perebakan api tidak akan berlaku selepas ‘fire break’ dilakukan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, keadah pengeboman air dari udara disambung pagi ini menggunakan helikopter.

Bomba berjaya padamkan kebakaran sebanyak 35 peratus di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

Ketika ini, kawasan kebakaran sudah berkurangan kepada empat hektar berbanding 6.5 hektar pada hari pertama kebakaran berlaku. – MalaysiaGazette