Home Nasional 75 peratus api tapak pelupusan sampah dipadamkan

75 peratus api tapak pelupusan sampah dipadamkan

Bomba menggunakan kaedah pengeboman air dari udara bagi memadamkan api di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL – Pemadaman api di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini berjalan dengan lancar apabila 75 peratus api dipadamkan di kawasan tersebut setakat hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, pihak bomba masih menggunakan kaedah pengeboman air dari udara (water bombing) untuk proses pemadaman api dengan bantuan helikopter AW 189 dari Pangkalan Udara Subang.

Difahamkan, proses pengeboman air dari udara dilakukan pada sebelah pagi dan petang membabitkan 26 kali pancutan hingga berjaya pemadaman api sebanyak 40 peratus untuk hari ini.

Secara keseluruhan 75 peratus api berjaya dipadamkan dalam tempoh dua hari bermula semalam.

MalaysiaGazette semalam melaporkan, Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap satu susulan pencemaran udara akibat kebakaran itu mengancam nyawa penduduk.

Untuk rekod kebakaran kawasan seluas 6.5 hektar di tapak pelupusan sampah Pulau Burung itu dilaporkan berlaku sejak 12 Januari lalu. – MalaysiaGazette