KUALA LUMPUR – Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat Malaysia (Gegar) menyerahkan memorandum berkaitan isu pembalakan di Pahang kepada pegawai khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen hari ini .
Naib Presidennya, Panji Yahya berkata, memorandum tersebut menggesa kerajaan menjalankan siasatan terperinci mengenai isu balak hanyut dalam kejadian banjir besar di Pahang pada hujung tahun lalu yang menjejaskan penduduk khususnya penduduk Kampung Sungai Perdak, Karak.
Jelasnya, meskipun semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pahang telah ditutup sepenuhnya, penduduk kampung tersebut masih belum boleh balik ke kediaman masing-masing berikutan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan masih dijalankan.
“Dalam masa sama, apakah nasib mereka khususnya di Kampung Perdak itu? Seolah-olahnya dah beri RM1,000, selesai.
“Tidak, bagi kami tak boleh. Ini melibatkan nyawa, melibatkan harta benda. Kasihan rakyat ni,” katanya yang turut meminta kerajaan mengkaji semula kadar ganti rugi kepada mangsa banjir yang terjejas teruk baru-baru ini.
Tambah beliau, sebarang aktiviti pembalakan harus dihentikan serta merta bagi mengelakkan bencana alam seperti yang berlaku baru-baru ini berulang.
Menurut Panji, jika sebelum ini Pahang dilanda banjir, mungkin pada masa akan datang bencana alam itu boleh melanda negeri lain sekiranya pembalakan tidak dibendung.
Sebanyak 21 kematian akibat banjir direkodkan di Pahang dalam kejadian 18 Disember lalu.
Baru-baru ini, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah mengeluarkan notis pekeliling dalaman bertajuk “Arahan penangguhan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengangkutan kayu balak semasa musim tengkujuh dan bencana banjir tahun 2022”.
Notis itu yang dikatakan dikeluarkan Pengarahnya, Mohd Hizamri Mohd Yasin antara lain mengarahkan supaya pihak-pihak tertentu memberhentikan sementara operasi pengusahasilan hutan dan pengeluaran kayu dari matau di Pahang bermula 3 Januari 2022 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.-MalaysiaGazette