Home Politik Masalah rasuah sudah jadi endemik – Anwar

Masalah rasuah sudah jadi endemik – Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima memorandum dari Parti MUDA berkenaan cara kerajaan menangani isu banjir serta perubahan iklim di hadapan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – “Isu rasuah kini sudah jadi seperti endemik.”

Itu pandangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubungn kemelut yang melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

“Jika masalah berkaitan isu rasuah tidak ditangani kerajaan segera dikhuatiri sistem penguatkuasaan undang-undang negara akan runtuh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima memorandum rakyat berkenaan lapan tuntutan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang disampaikan ketuanya, Akmal Nasrullah Nasir di perkarangan Parlimen hari ini.

Anwar turut memaklumkan akan menyerahkan memorandum itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semasa sidang khas Dewan Rakyat.

Sementara itu, mengulas mengenai isu yang sama, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu membuat perbandingan Malaysia dengan negara jiran yang dikatakan semakin maju selepas memerangi rasuah.

“Malaysia sekarang sedang mundur kerana rasuah berleluasa, itu sahaja rakyat kena faham,” katanya.

AMK pagi tadi mengemukakan satu memorandum rakyat bagi mendesak lapan tuntutan dilaksanakan segera untuk menyelamatkan SPRM yang terpalit kemelut sejak beberapa minggu ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Maszlee Malik (Simpang Renggam), Fahmi Fadzil (Lembah Pantai), Datuk Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya – PH), Teresa Kok (Seputeh-PH), Fuziah Salleh (Kuantan), Datuk Mahfuz Omar (Pkk Sena) dan P. Prabakaran (Batu).- MalaysiaGazette