KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu secara melawan arus kerana berada di bawah pengaruh alkohol sehingga terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Connaught menghala ke Kajang pada 14 Januari lalu, didakwa di Mahkamah Trafik Jalan Duta, hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemandu kereta Volkswagen itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kecederaan.
“Hasil pertuduhan, pemandu Volkswagen berusia 39 tahun itu tidak mengaku bersalah dan dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sarifudin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu mengakibatkan pemandu Perodua berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jelasnya, pemandu Volkswagen terbabit didapati memandu secara melawan arus dari arah bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua.
Bagaimanapun, pemandu Volkswagen terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu. – MalaysiaGazette