Home Nasional Penduduk luar Pulau Burung mula terkesan akibat kebakaran pelupusan sampah

Penduduk luar Pulau Burung mula terkesan akibat kebakaran pelupusan sampah

The school session for 10 schools had to be postponed for three days beginning tomorrow following the air pollution due to the fire at the Pulau Burung landfill
Keadaan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Pulau Pinang. - Gambar ihsan JAS

NIBONG TEBAL – “Kami sudah mula rasa pedih mata serta sakit kerongkong dipercayai berpunca daripada kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.”

Itu kata penduduk Taman Desa Jawi, Aziwan Ali, 45, walaupun taman perumahan mereka terletak kira-kira sembilan kilometer daripada lokasi tapak pelupusan sampah tersebut.

Menurut beliau, rata-rata penduduk mengadu mengalami simptom yang sama sejak beberapa hari lalu namun bimbang kesan jangka masa panjang memandangkan mereka tidak diarahkan berpindah.

Aziwan.

“Pihak berkaitan hanya arahkan penduduk Kampung Kebun Baru dan Ladang Byram untuk berpindah dengan alasan mereka paling hampir tetapi sekarang kesan kebakaran itu turut dirasai kami.

“Jadi kami harap pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri melakukan pemantauan pada radius berskala besar agar kesihatan penduduk luar daripada dua kampung berhampiran tapak pelupusan sampah tidak terjejas sama.

“Kami tidak tahu udara di persekitaran rumah ini tercemar atau tidak sehingga masing-masing rasa pedih mata serta sakit kerongkong. Jadi kami mohon pantau kawasan luar sama sekali gus mengelakkan penduduk berdepan masalah kesihatan pada jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, K. Gopal, 39,  bimbang kesihatan isteri serta anaknya yang kini menghidap simptom sakit tekak sejak beberapa hari lalu.

Jelas beliau, mereka sekeluarga sudah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran namun pihak perubatan gagal memberitahu punca.

“Sudah dua tahun seluruh rakyat pakai pelitup muka akibat Covid-19 takkan kami di rumah kena sentiasa pakai pelitup muka disebabkan kerakusan orang lain,” katanya.

Ketika ini, kawasan kebakaran sudah berkurangan kepada empat hektar berbanding 6.5 hektar pada hari pertama kebakaran berlaku. – MalaysiaGazette