KUALA LUMPUR – Wakil rakyat pembangkang yang tidak turun membantu penduduk ketika banjir baru-baru ini akan digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi Majlis Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu ada dalam kalangan wakil rakyat yang tidak prihatin dengan masalah dihadapi rakyat lebih lagi dalam kejadian bencana banjir.
“Sama ada Ahli Parlimen atau ADUN pembangkang turun ke lapangan atau tidak sebagaimana dakwaan Perdana Menteri (Datuk Seri ismail Sabri Yaakob) kalau prestasinya lemah ketika isu banjir, saya bagi jaminan orang itu akan digugurkan sebagai calon PRU akan datang.
“Tetapi, saya pantau setiap hari, dan sebagai seorang perdana menteri, membuat sindiran seolah ada ahli Parlimen tidak hadir atau tidak kelihatan ketika banjir, saya rasa itu tidak adil.
“Kerana kita harus mendapatkan maklumat teliti dan saya lihat ianya merentas parti sebenarnya. Jentera parti semuanya turun, ada yang lebih, ada yang kurang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Ahli Parlimen meminta penjelasan dan memberikan pandangan berhubung isu bencana banjir pada Mesyuarat Khas Parlimen ke-14 di sini hari ini.
Berhubung desakan UMNO supaya kerajaan membenarkan pengeluaran RM10,000 menerusi i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Anwar menyatakan, beliau secara prinsipnya tidak bersetuju.
Beliau mengakui keputusannya itu tidak popular kepada sesetengah pihak tetapi demi masa depan pencarum yang rata-ratanya agak miskin, apa yang diputuskan itu adalah betul.
“Ada pandangan mengatakan perlu kerajaan berikan kelonggaran bagi pencarum mengambil wang mereka sendiri dan ini telah kerajaan lakukan.
“Tetapi, saya cenderung mengatakan, walaupun tidak popular kepada sesetengah pihak, kita tidak boleh memberi laluan mudah kerana wang ini, yang sedikit itu, adalah untuk menjamin masa depan mereka dan kumpulan yang agak miskin ini.
“Kalau diambil wang ini (RM10,000), lima enam tahun selepas bersara tidak ada harapan lagi mereka boleh menjamin keselamatan hidup mereka dan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mahu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya memikirkan kaedah terbaik untuk membantu rakyat yang terkesan dengan banjir daripada mengeluarkan wang mereka dari KWSP.
“Kalau jawapan Menteri Kewangan hanya setakat itu sahaja, nokhtah. Tidak cukup, perlu ada tindakan yang lebih berkesan dan memuaskan hati rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: