KUANTAN – Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) terus mempergiat usaha membantu rakyat Pahang menerusi program kemasyarakatan dan pendidikan sejak 26 tahun lalu.
Antara aktiviti YASA menerusi program kebajikan dan kemasyarakatan dengan penubuhan tadika islam, kelas fardu ain, pembinaan masjid serta membina pusat hemodialisis.
Manakala program pendidikan dilaksanakan melalui program Akademi Menara Gading (AMG) bermatlamat membantu pelajar yang kurang bernasib baik bagi mencapai kecemerlangan akademik.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, bahawa Program AMG terbukti mampu melahirkan graduan berjaya dalam pelbagai bidang.
“AMG adalah program utama YASA yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak penubuhannya pada 11 September 1996.
”Setakat ini program AMG, telah terbukti mampu melahirkan ribuan graduan yang berjaya, dalam pelbagai bidang kerjaya, dan, dapat membantu ibu bapa dan keluarga mereka, untuk hidup dengan lebih selesa,” titahnya menerusi kenyataan sempena Majlis Pelancaran Buku Aspirasi Menara Gading dan Majlis Penutup Access Leadership Program YASA dan Kedutaan Amerika Syarikat, hari ini.
Baginda berharap lebih banyak pihak dapat melibatkan diri mengadakan program seumpama itu bagi membantu lebih ramai pelajar miskin, anak yatim, anak Orang Asli serta golongan kurang bernasib baik untuk sama-sama cemerlang dalam pendidikan.
“Jika anda mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda dan pemudi pada hari ini, tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik semata-mata tetapi perlu diterapkan dengan nilai murni supaya menjadi insan kamil,” titah baginda. -MalaysiaGazette