Home Nasional Ketika ada pihak cerita bulan dan bintang, masih ada rakyat kesempitan hidup...

Ketika ada pihak cerita bulan dan bintang, masih ada rakyat kesempitan hidup – Zahid

Pasangan suami isteri tinggal di bawah landasan LRT di Petaling Jaya ketika ditemui seorang individu, yang kemudian mendedahkan di media sosial.

KUALA LUMPUR – Kisah pasangan suami isteri yang tinggal di bawah landasan transit aliran ringan (LRT) di Petaling Jaya dekat sini sepatutnya membuka mata pihak berkenaan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika pihak berkenaan bercerita bulan dan bintang bagi menghuraikan yang indah-indah namun masih ramai rakyat berdepan dengan permasalahan ekonomi.

Justeru, beliau menyeru pihak yang mentadbir kewangan negara pertimbangkan sehabis baik permintaan rakyat supaya dibenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Begitu juga, katanya, dengan permintaan mereka yang masih berdepan masalah kewangan supaya diberi moratorium bayaran oleh bank untuk tempoh enam bulan lagi.

Ahmad Zahid Hamidi

“Mungkin orang di sekeliling kita atau di hadapan mata kita terlihat penuh selesa namun bagaimana yang lain di luar jangkauan dan makluman kita?

“Adakah ia lengkap dan menyentuh realiti semasa?” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menggerakkan pasukannya menemui pasangan itu selepas dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan sebuah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), di samping menawarkan peluang perniagaan kepada pasangan itu untuk memulakan kehidupan baru.

Menurut Ahmad Zahid, UMNO berterima kasih kepada individu yang menemui pasangan itu dan mendedahkannya dalam media sosial.

Kata beliau, dengan pendedahan itu, segala bentuk bantuan untuk pasangan suami isteri itu dipermudahkan termasuk dari jabatan dan agensi kerajaan.

“Saya dimaklumkan begitu ramai pihak tampil membantu. Syukur Alhamdulillah. Semoga segala pertolongan diberi membolehkan pasangan ini menjalani kehidupan yang baik.

Menurut Ahmad Zahid, ramai berpandangan itulah kuasa media sosial, tetapi baginya yang penting ialah kemuafakatan rakyat.

Katanya, jika tiada seorang pun anggota masyarakat yang prihatin keadaan mereka, kuasa media sosial juga tidak berfungsi maka teruskanlah kemuafakatan itu.

Beliau turut menyentuh mengenai Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang dikatakan untuk bank membantu rakyat yang masih mengalami masalah kewangan akibat impak pandemik.

Namun, tegas beliau, banyak keluhan didengari mengenai URUS yang didakwa lebih menguntungkan bank berbanding rakyat kerana peminjam perlu menanggung bebanan hutang yang lebih tinggi.

“Kelihatan seperti salah satu produk kewangan yang akan menjana keuntungan bagi pihak bank manakala kosnya perlu ditanggung rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette