KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik tidak perlu menunjukkan tindakan tidak bijak selepas mempersoalkan ketiadaan Menteri Besar Pahang ketika banjir melanda negeri itu.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, bekas Menteri Pendidikan itu tidak perlu membuat tuduhan tersebut kerana beliau tidak berada di sana ketika itu.
“Adakah Dr. Maszlee berada di Pahang pada waktu itu dan tahu tentang keberadaan Menteri Besar Pahang?
“Bagi saya, kenyataan yang dibuat Dr. Maszlee itu hanya menjatuhkan imejnya sendiri yang kononnya mengikuti segala perkembangan di media sosial.
“Bagi anak kelahiran Pahang dan pandangan saya secara peribadi, tugas wakil rakyat bukanlah perlu ada setiap masa ketika musibah banjir berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Maszlee ketika perbahasan di Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan ketiadaan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika banjir melanda di Pahang sebaliknya memuji Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang baginya turun menyelamatkan mangsa banjir.
Dalam pada itu, Haslihelmy juga melahirkan rasa sedih apabila terdapat exco di Pahang yang dilihat kerap kali memerli NGO dan menganaktirikannya.
“Nasihat saya kepada exco berkenaan, hidup jangan selalu mendongak ke langit. Sesekali ada baiknya kita tunduk ke bumi.
“Hakikatnya hidup ini ibarat putaran roda. Ada kalanya kita berada di atas namun akhirnya satu masa akan ke bawah jua.
“Janganlah kita sombong dan memandang rendah terhadap orang lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette