Home Nasional Pengukuhan agenda Malaysia Berdaya Huni hala tuju 2022 KPKT

Pengukuhan agenda Malaysia Berdaya Huni hala tuju 2022 KPKT

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menetapkan pengukuhan agenda Malaysia Berdaya Huni (Liveable Malaysia) sebagai hala tuju tahun 2022 kementerian berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sebanyak enam fokus digariskan di bawah agenda tersebut dengan mengutamakan penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti.

“Pertamanya dalam soal perumahan, penyediaan rumah mampu milik merupakan teras utama kita di KPKT ini.

“Sehubungan itu, saya mahu kita sama-sama gerakkan Home Ownership Programme (HOPE) yang melihat ekosistem perumahan secara menyeluruh termasuklah penyediaan dan pembiayaan perumahan.

“Kita ada misi yang perlu dilunaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik, jumlah ini bukan kecil dan kita perlu ada strategi untuk memastikan ia dicapai,” katanya bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPKT dan Pelancaran Rangka Kerja Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan (RKPBT) di sini, hari ini.

Jelas Reezal, lima lagi fokus lain di bawah agenda tersebut adalah mengarus perdana pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); memperkasa pembangunan komuniti bandar; mempertingkat kesiapsagaan kebombaan dan penyelamatan; mengutamakan kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan Bandar Hijau dan mentransformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran.

Katanya lagi, mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri turut diaktifkan semula dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada 31 Januari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Reezal berkata, KPKT akan memulakan pengukuran Indeks Daya Huni Malaysia (IDAM) pada tahun ini sebagai satu instrumen strategik untuk
menilai tahap daya huni dalam kawasan PBT.

“IDAM ini akan ditanda aras seperti mana Liveability Index di luar negara yang antaranya memberi indikasi penting dalam soal perkembangan sosio-ekonomi setempat,” ujarnya.

Mengulas mengenai RKPBT, Reezal berkata, ia merupakan panduan berguna kepada PBT dalam memperkukuhkan lagi tadbir urus dan kemampanan sebagai sebuah kerajaan tempatan.

“RKPBT yang dibangunkan oleh KPKT merupakan satu rangka kerja yang komprehensif dan holistik yang menyediakan PBT untuk tampil lebih cemerlang dan dinamik serta mampu mendepani cabaran mendatang.

“Ia digubal bertujuan menyampaikan hasrat aspirasi Keluarga Malaysia menerusi konsep pendekatan secara menyeluruh bagi mendokong agenda Malaysia Berdaya Huni,” katanya. – MalaysiaGazette