KUANTAN – Seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah lori dalam di Permatang Badak di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 3. 3o petang itu berlaku di Jalan Permatang Padang.
Akibat kemalangan tersebut, mangsa merupakan seorang penganggur telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Siasatan awal dapati pemandu lori dari arah Jalan Kuantan Bypass hendak menghala ke Inderapura. Setibanya di lokasi kejadian ketika pemandu lori sedang bergerak melalui selekoh dan tiba-tiba telah bergesel dengan sebuah motosikal yang keluar dari susur di sebelah kiri laluan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hasil siasatan awal dapati kemalangan berpunca dari kecuaian penunggang motosikal yang gagal mengawal motosikalnya.
Manakala hasil semakan, polis mendapati pemandu lori mempunyai rekod tiga saman pandu laju.
Wan Mohd Zahari berkata, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette