Home Nasional 58 peratus api tapak pelupusan masih belum padam – Kon Yeow

58 peratus api tapak pelupusan masih belum padam – Kon Yeow

Chow Kon Yeow menunjukkan gambar kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL – Tiada jangka masa boleh diberikan berhubung operasi pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung di sini yang berlarutan sejak 12 Januari lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini 58 peratus api di tapak pelupusan itu masih belum dipadamkan.

Kon Yeow pada sidang media di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Jelas beliau, kebakaran di fasa empat membabitkan keluasan 6.1 ekar telah dipadamkan sepenuhnya dan kini pihak bomba bersama agensi terlibat lain giat melakukan operasi pemadaman di fasa 1,2,3 dan 5.

“Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 82 ekar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 28 ekar.

“Sehubungan itu, pihak bomba menggunakan kaedah pengeboman air dari udara (water bombing) serta tambunan tanah untuk memadamkan api di kawasan tersebut.

“Pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Seberang Perai turut terlibat dalam operasi ini,” katanya pada sidang media di Pusat Media Penerangan Dewan Serbaguna Jawi di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM negeri, Hafiz Hafizal Timaradin berkata, pihaknya berdepan kesukaran memadamkan api di tapak pelupusan sampah itu atas faktor angin selain lokasinya berhampiran laut.

Hafiz Hafizal.

“Tiada tempoh masa boleh diberikan bagi proses pemadaman keseluruhan memandangkan masih terdapat api di permukaan tanah selain tambunan sampah banyak.

“Pengawalan dapat dipertingkatkan cuma akan ambil masa sikit untuk kita membuat pemadaman antara sektor satu hingga fasa lima,” katanya.

MalaysiaGazette kelmarin melaporkan, Kon Yeow menegaskan, Syarikat pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. berdepan tindakan penamatan konsesi sekiranya didapati gagal mematuhi perjanjian yang termaktub menerusi tender terbuka.

Syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. dikatakan sudah mula menguruskan tapak pelupusan sampah itu sejak lima tahun lalu dan mempunyai kontrak konsesi selama 20 tahun. – MalaysiaGazette