Home Nasional Kerajaan negeri beri RM1,000 kepada keluarga terjejas pelupusan sampah terbakar

Kerajaan negeri beri RM1,000 kepada keluarga terjejas pelupusan sampah terbakar

Chow Kon Yeow

NIBONG TEBAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan bantuan bencana RM1,000 kepada 90 buah keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Mereka terdiri daripada 52 keluarga daripada Kampung Kebun Baru manakala 38 membabitkan Ladang Byram.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, bantuan bencana khas itu akan diberikan minggu depan bagi meringgankan beban penduduk yang terjejas susulan kebakaran di kawasan itu sudah berlanjutan lebih seminggu.

“Kesemua keluarga itu tinggal berhampiran dengan tapak pelupusan sampah dan kita harap bantuan terbabit sedikit sebanyak meringgankan bebanan mereka.

“Selain itu, penduduk di dua lokasi itu masih belum dapat pulang ke kediaman masing-masing memandangkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) belum stabil,” katanya pada sidang media di Pusat Media Penerangan Dewan Serbaguna Jawi di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, hanya sebuah sekolah masih ditutup setakat ini iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram kerana sekolah itu terletak paling hampir dengan kawasan tapak pelupusan sampah berkenaan. 

“Sembilan buah sekolah yang sebelum ini ditutup akan kembali beroperasi seperti biasa mulai Isnin ini,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan sesi persekolahan 10 buah sekolah di sini, ditangguhkan selama tiga hari sehingga 21 Januari susulan pencemaran udara akibat kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung.

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SMK Methodist, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SK Methodist serta SK Nibong Tebal.

Turut terlibat, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, SJKT Ladang Changkat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Teik, SJKT Nibong Tebal. – MalaysiaGazette