LARUT – Tiada lagi kuota khas dikeluarkan dalam pengambilan pekerja asing di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata setiap permohonan daripada majikan kini perlu melalui penilaian jawatankuasa kementerian dalam meneliti jumlah pekerja asing yang layak diambil bekerja mengikut syarat dan undang-undang yang ditetapkan.
“Tiada lagi kuota khas. Mesti mendapat kelulusan jawatankuasa. Ada orang tidak sedar dan syok cakap. Umum perlu tahu, seseorang majikan yang memerlukan pekerja asing, perlu mendapat kelulusan jawatankuasa kerana ada akta.
“Untuk tambah baki pekerja yang dipohon, kena mohon semula dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) atau merayu kepada kami untuk disemak. Sekarang pengambilan semakin ketat dan tidak mahu lagi kuota bebas seperti legasi sebelum ini,” katanya selepas menghadiri majlis mesra rakyat di Kampung Tapah, Sungai Bayur, dekat Selama hari ini.
Beliau mengulas gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr N. Sukumaran supaya kerajaan menghapuskan ‘kelulusan khas’ peringkat menteri sebagai kebenaran kepada pihak-pihak tertentu untuk memonopoli kemasukan pekerja asing ke negara ini bagi mengelak berulangnya sindiket membawa masuk pekerja asing berlebihan.
Sebelum ini setiap majikan perlu berurusan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk urusan penggajian pekerja asing, namun begitu, kini semua urusan tersebut boleh dibuat melalui KSM bagi memastikan keseragaman dasar dan penyelarasan prosedur penggajian pekerja asing.
— BERNAMA