Home Politik 80 ahli PKR Rasah masuk MIC

80 ahli PKR Rasah masuk MIC

80 ahli PKR Rasah masuk MIC

SEREMBAN – Seramai 80 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rasah mengambil keputusan keputusan untuk keluar untuk menyertai MIC.

Setiausaha Pemuda MIC Negeri Sembilan, Tharmaraj Subramaniam berkata, mereka yang rata-rata golongan pemuda akan diserap menyertai Briged Pemuda MIC di beberapa cawangan MIC seperti di Labu, Kirby dan Gadong.

“Pastinya keputusan kumpulan ini untuk bukan sahaja keluar parti sebaliknya hendak terus aktif berpolitik bagi kebajikan masyarakat setempat amatlah dihargai. Malah pilihan mereka untuk menyertai kami dalam MIC amat kami alu-alukan.

“Kebanyakan mereka sanggup meninggalkan parti dan pemimpin yang selama ini mereka percaya akan melakukan reformasi dan memperjuangkan agenda rakyat yang akhirnya hanya retorik dan ‘cakap tidak serupa bikin’ sahaja.

“Mereka telah lakukan pelbagai kerja di peringkat akar umbi di kawasan mereka namun selalu berdepan pula berhadapan pelbagai kerenah birokrasi parti,” katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian, hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rasah, Irwin Mohd Suhid, Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan Andrew David, Ketua Pemuda MIC Negeri Sembilan, Kalai Arasan, Pengerusi MIC Bahagian Rasah, Krishnan.

Menurut Tharmaraj, walaupun PKR memerintah Negeri Sembilan,  kumpulan pemuda itu tidak nampak parti tersebut serius membantu meningkatkan taraf hidup penduduk dengan janji-janji yang dilakukan pada pilihan raya lalu.

Kata Tharmaraj, pihaknya teruja apabila kumpulan anak muda itu mahu menyertai MIC setelah melihat sendiri perjuangan parti tersebut mendepani pelbagai isu di Negeri Sembilan.

“Kita pernah memerintah, kita juga pernah menjadi pembangkang. Namun perjuangan MIC sangat utuh, kita komited dan bukanlah bercakap kosong semata-mata sebaliknya kita terus ke depan dalam memastikan kebajikan dan kehidupan rakyat terbela,” ujarnya. – MalaysiaGazette