Home Sukan BAM, kenapa pula sekarang jadi isu? – Jin Wei

BAM, kenapa pula sekarang jadi isu? – Jin Wei

Pemain perseorangan negara, Goh Jin Wei menewaskan pemain perseorangan Thailand, Nitchaon Jindapol dengan keputusan 21-13, 21-12 pada perlawanan hari kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Celcom Axiata 2019 di Axiata Arena Bukit Jalil hari ini. foto NOOREEZA HASHIM, 03 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan wanita, Goh Jin Wei hairan dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang tidak akan mendaftarkan namanya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Jin Wei berkata, dia tidak pasti kesalahan yang dilakukannya sedangkan keputusannya meninggalkan BAM pada September tahun lalu dengan persetujuan bersama atas faktor kesihatan.

“Pertama, mereka (BAM) menerima peletakan jawatan saya pada September 2021 dan tiada bantahan selama ini. Tetapi kenapa pula sekarang menjadi isu?

“Kedua, kenapa saya boleh mendaftarkan diri pada Terbuka India bulan lalu? Itu bermakna saya ada hak bermain dan saya tidak melanggar mana-mana polisi.

“Ketiga, (BAM) enggan mendaftarkan nama saya dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun. Jika anda enggan mendaftarkan saya, saya tidak dapat bermain di peringkat antarabangsa.

“Ini akan menjejaskan kehidupan saya. Badminton satu-satunya kemahiran yang saya ada dan itu kerja saya,” katanya menerusi video yang disiarkan dalam saluran Youtube miliknya, semalam.

Tiga bulan selepas mengumumkan pesaraannya, Jin Wei yang juga bekas juara remaja dunia kembali beraksi secara profesional dengan menandantangani kontrak bersama Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC).

Selain Lee Zii Jia yang ‘digam’ dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu, Jin Wei yang meninggalkan BAM pada 11 September lalu pula dikenakan hukuman berkuatkuasa 31 Oktober 2021. – MalaysiaGazette