Home Nasional Cucu perempuan 10 tahun jadi penyelamat

Cucu perempuan 10 tahun jadi penyelamat

Keadaan rumah kayu di Kampung Paya Rumput yang terbakar pagi tadi.

MELAKA – “Mujurlah kejadian disedari cucu perempuan kami, kalau tidak tak tahulah apa nasib saya dan isteri,” kata Malik Yassin, 67, yang terselamat dalam kebakaran di Batu 8 1/2, Kampung Paya Rumput, di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu disedari cucu perempuannya yang baru selesai mandi sebelum menjerit ternampak api sudah marak di ruang depan rumah pusaka keluarga isterinya itu.

“Ketika itu, saya baru pulang dari kebun di Alor Gajah dan sebaik tiba di rumah, saya cuma terbau hangit seperti rumput terbakar tanpa mengesyaki apa-apa kerana menjadi kebiasaan rumah kampung jiran membakar sampah.

“Tidak lama selepas itu, saya terdengar cucu perempuan berusia 10 tahun yang tinggal bersama menjerit api sebelum tiba-tiba saya melihat api sudah marak di kiri dan kanan rumah kayu.

“Tanpa membuang masa, saya terus mengarahkan cucu dan isteri, Zaini Keling, 66, yang ketika itu sedang menggoreng mi di dapur segera keluar,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette di lokasi di sini hari ini.

Malik Yassin

Walaupun sedih dengan kejadian itu yang mengakibatkan keluarganya kerugian kira-kira RM100,000, dia bersyukur kerana musibah tidak melibatkan kehilangan nyawa.

“Saya reda dengan ujian ini dan bersyukur kerana cucu dan isteri tidak mengalami sebarang kecederaan, kecuali isteri sahaja yang masih terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, tiga jentera bomba dengan kekuatan 10 pegawai dan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat pada jam 10.25 pagi.

“Sebaik tiba, didapati rumah separuh kekal itu sudah terbakar kira-kira 60 peratus dan sepasang suami isteri dan cucu mereka sudah lari menyelamatkan diri.

“Operasi terkawal pada jam 10.46 pagi dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.