KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyambut baik langkah kerajaan untuk membenarkan guru dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk terlibat aktif dalam aktiviti politik.
Namun pekeliling yang jelas mengenai perkara ini perlu dibentangkan terlebih dahulu.
Presidennya, Adnan Mat berkata, kebenaran tersebut pada dasarnya adalah munasabah mamndangkan ketika ini remaja berusia seawal 18 tahun bakal diberikan hak untuk terlibat dalam pilihan raya umum.
”Walaupun diberikan kebenaran untuk berpolitik, keutamaan yang perlu didahulukan oleh semua penjawat awam adalah tugas hakiki mereka masing-masing terutama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
”Dalam hal ini kerajaan perlu mengeluarkan pekeliling atau garis panduan yang jelas dan cepat bagi mengelak salah tafsir dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum.
”Hal ini penting bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan seperti salah guna kuasa selain mengelakkan orang awam membuat tuduhan tidak berasas,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam masa yang sama, CUEPACS berharap kebenaran berpolitik ini tidak menjadikan guru-guru, kakitangan Kemas atau penjawat awam lain diarahkan bekerja untuk politik.
Ini kerana, CUEPACS bimbang jika kebenaran ini disalah guna atau disalah erti oleh pihak-pihak tertentu hingga menjadikan penjawat awam menjadi alat politik, diugut atau sebagainya.
Dakwanya, perkara ini pernah terjadi terutama melibatkan kakitangan Kemas yang pernah dituduh membantu kerajaan terdahulu sedangkan setiap tugas yang dilakukan mereka dilakukan dengan profesional dan penuh tanggungjawab.
Tambahan pula status kontrak kakitangan Kemas menyebabkan mereka mudah untuk diugut atau dianiaya sekiranya berlaku peralihan kuasa kelak atau pun enggan melaksanakan aktiviti politik seperti yang diarahkan pihak tertentu.
Lantaran itu, CUEPACS berharap kerajaan memberikan taraf jawatan tetap kepada kakitangan Kemas selari dengan kebenaran kerajaan untuk membenarkan mereka ini berpolitik.
Penjawat awam lain yang dibenarkan berpolitik seperti guru adalah kakitangan tetap dan mereka tidak cenderung untuk dianiaya atau diugut berdasarkan status tetap tersebut.
Dalam pada itu, CUEPACS sekali lagi menasihatkan semua penjawat awam agar berpada-pada dalam melibatkan diri dengan aktiviti politik walaupun ia dibolehkan dari segi undang-undang.
Keutamaan yang harus didahulukan adalah penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Katanya, parti-parti politik juga dinasihatkan tidak menjadikan penjawat awam sebagai alat untuk kepentingan politik masing-masing kerana perkhidmatan awam perlu bergerak secara profesional walaupun mempunyai ideologi politik yang berbeza. – MalaysiaGazette