KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menyifatkan jasa Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat dan menjawat jawatan itu sebanyak dua kali amat besar kepada rakyat di negara ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, apa jua tanggapan negatif dan tuduhan ke atas Mahathir, jasa beliau mengatasi segala-galanya.
Jelas beliau, walaupun diakui Pengerusi Parti Pejuang Tanahair itu memiliki kelemahan semasa pentadbirannya, dunia turut mengiktiraf pencapaian hebat Mahathir ke atas negara ini.
“Tun adalah perdana paling lama dan banyak jasa kepada negara, malah dua kali jadi perdana Menteri. Sudah tentu ada kelemahannya dan orang tuduh beliau macam-macam. Tetapi walaupun ada kelemahan, jasa beliau tetap tinggi.
“Jasa Tun mengatasi kelemahan yang beliau ada atau tuduhan terhadapnya. Jadi kita semua perlu berdoa agar Tun kembali sihat dan saya mengarahkan kepada ahli-ahli Putra di seluruh negara mengadakan solat hajat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar presiden dan isu-isu berkaitan sempena Perhimpunan Agung Perwakilan Tahunan Kali Kedua PUTRA di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Semalam, pengamal media dalam dan luar negara kini memenuhi perkarangan Institut Jantung Negara bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan kesihatan Mahathir yang dilaporkan dimasukkan semula ke pusat perubatan itu hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Koronari (CCU), di IJN.
Namun anak sulung beliau, Marina dalam satu kenyataan berkata, bapanya kini dalam keadaan stabil.
“Keadaan beliau kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan tersebut.
“Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya,” tulis Marina dalam satu kenyataan itu.
Sementara itu, Ibrahim turut menyifatkan Mahathir sebagai mentor dalam karier politiknya selain memiliki nilai sentimental kerana mempunyai persahabatan erat sejak sekian lama.
“Saya semalam bila dengar Tun dalam keadaan kritikal sampai tidak boleh tidur malam. Saya pun ada sentimental dengan Tun dan persahabatan yang lama apatah lagi Tun berusia 96 dan terasa dengan berita semalam. Takut jadi apa-apa dan kita akan kehilangan sesuatu.
“Tun adalah tokoh dunia. Walaupun tidak sama bersama lagi dengan Tun, dari segi semangat perjuangan saya beliau adalah mentor saya.
Dalam pada itu, sebelum perhimpunan agung, Putra turut mendoakan agar kesihatan Mahathir kembali pulih seperti biasa. – MalaysiaGazette