Home Nasional Kerajaan bantu rakyat kurangkan beban kenaikan harga barang

Kerajaan bantu rakyat kurangkan beban kenaikan harga barang

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (tengah) bersama Presiden Majlis Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah (kiri) melancarkan gimik pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Kipidap Malaysia di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memainkan peranan dalam membantu rakyat terutama ketika berdepan masalah susulan kenaikan harga barang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, koperasi adalah agensi yang cukup besar menerusi keahlian lebih tujuh juta orang dengan modal ssaham bernilai RM16.3 bilion, aset koperasi RM152 bilion serta pendapatan berjumlah RM18.8 bilion.

“Dalam menyahut seruan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya koperasi memainkan peranan, kita komited membantu ahli dengan menubuhkan Coop Mart secara berperingkat di semua kawasan yang disasarkan.

“Dengan adanya Coop Mart itu kita berupaya memasarkan barang keperluan lebih murah daripada harga pasaran. Jadi kita berhasrat menubuhkannya di semua 500 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kedai ini.

“Coop Mart ini akan diwujudkan di kawasan perumahan dalam bandar terutama di lokasi projek perumahan rakyat (PPR), rumah kos rendah supaya ada kedai koperasi yang mesti jual barang dengan murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Koperasi Kipidap Malaysia Berhad di Dewan Rekreasi Yayasan Pendidikan Cheras, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Kipidad Malaysia Berhad, Abdul Rani Kulup.

Noh berkata, pada ketika ini pihaknya sedang mengubah suai dua tempat untuk Coop Mart iaitu masing-masing di Ampang dan Putrajaya, yang kedua-duanya dalam kawasan PPR.

“Jadi kedai Coop Mart itu akan disiapkan dengan reka bentuk standard seperti kedai serbaneka.

“Dalam usaha memastikan memastikan harga murah, kita akan mengambil terus barang daripada pengeluar tanpa pembabitan orang tengah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noh memaklumkan, kerajaan mempunyai peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membantu koperasi.

“Jadi, kerajaan akan ‘top up’ kos kekurangan 15 peratus harga yang Coop Mart melalui sistem dalam talian (online).

“Maksudnya subsidi itu bukan diberikan kepada pembeli, tetapi melalui sistem dalam talian itu, kedai akan kemas kini berapa yang mereka sudah jual. Jadi perbezaan itu akan dituntut kepada SKM,” katanya.

Noh berkata, berkenaan konsortium yang menggabungkan lebih 3,000 outlet runcit kelolaan gerakan koperasi negara, ia akan dilaksanakan.

“Ini berikutan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) sendiri memiliki 400 kedai, jadi agensi itu akan menjadi induk.

“Sementara SKM pula mempunyai 2,500 kedai. UDA, TEKUN juga bilangan tersendiri. Jadi, sekarang Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mahu membantu menggabungkan kesemua itu di bawah satu konsortium supaya ada identiti untuk membantu usahawan melalui pergerakan koperasi,” katanya.

Berkenaan bantuan yang terjejas bencana, Noh berkata, secara keseluruhan pada peringkat awal SME Corp sudah mengenal pasti lebih 14,000 perusahaan yang mana mempunyai beberapa kategori bukan formal (gerai), mikro, kedai, industri kecil dan sederhana yang terjejas dengan banjir pada 18 Disember lalu.

“Ini memang sedang dalam peringkat kajian untuk mendapatkan perangkaan dalam usaha kerajaan untuk meringankan beban usahawan yang terjejas banjir ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette