SYDNEY – Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden telah membatalkan perkahwinannya ketika negara itu mengenakan sekatan pergerakan baharu untuk memperlahankan penyebaran varian Omicron Covid-19.
New Zealand mengenakan peraturan pemakaian pelitup muka dan mengehadkan perhimpunan mulai tengah malam pada Ahad selepas sembilan kes Omicron Covid-19 merebak dari pulau utara ke selatan selepas satu majlis perkahwinan.
Menurut laporan Reuters, sebuah keluarga kembali ke Nelson di Pulau Selatan dengan kapal terbang selepas menghadiri majlis perkahwinan dan acara lain di Auckland di Pulau Utara.
Keluarga dan seorang pramugari telah disahkan positif.
New Zealand akan beralih ke kategori merah di bawah rangka kerja perlindungan Covid-19.
Prosedur operasi standard bagi hospitaliti dalaman seperti bar dan restoran serta acara seperti perkahwinan akan dihadkan kepada 100 orang sahaja
Had itu diturunkan kepada 25 orang jika lokasi tidak menggunakan pas vaksin, kata Arden.
‘Perkahwinan saya tidak akan diteruskan,’ katanya kepada pemberita, sambil menambah dia kesal apabila jangkitan berlaku dalam senario yang sama.
Ardern tidak mendedahkan tarikh baharu perkahwinannya.
Ditanya oleh wartawan bagaimana perasaannya mengenai pembatalan perkahwinannya Ardern menjawab, ‘begitulah kehidupan.’
Sempadan New Zealand telah ditutup kepada warga asing sejak Mac 2020.- Reuters