MENGIMBAU kenangan 30 tahun lalu di sebuah perkampungan nelayan yang majoritinya Melayu, di tengah-tengah kampung terdapat beberapa keluarga Cina yang merupakan para peniaga. Hubungan masyarakat Melayu dan Cina aman damai, tiada sebarang sengketa atau prasangka. Setiap hari kebesaran diraikan bersama melalui makanan.
Semasa Hari Raya, keluarga kami akan memberikan ketupat pulut kepada keluarga Cina yang berjiran dan pasti dibalas dengan beberapa tin susu pekat yang kami sangat sukai tetapi jarang dibeli kerana ianya dianggap makanan mewah yang diluar kemampuan untuk keluarga nelayan seperti kami.
Begitu juga bila perayaan Tahun Baru Cina, isteri tauke kedai runcit ini akan menempah pulut kuning dan gulai ayam dari orang Melayu yang siap dibungkus dalam plastik untuk diedarkan kepada keluarga Melayu.
Kehidupannya penuh toleransi, menerima, menghormati dan meraikan perbezaan budaya, agama dan cara hidup. Tiada di sana provokasi atau isu atas dasar perkauman. Sering menjadi persoalan di benak fikiran, kenapa pada zaman kita tidak maju, komunikasi terhad melalui radio dan televisyen sahaja, kita boleh hidup bersama dengan damai walaupun berbeza keturunan?
Pada hari ini maklumat dihujung jari, komunikasi mampu mendekatkan yang jauh, perpaduan seolah-olah suatu impian yang sukar digapai. Berita dan cerita penuh dengan isu perkauman, siapakah dan apakah puncanya? Bukankah kita kini lebih maju dan lebih berpendidikan berbanding 30 tahun yang lalu?
Adakah kemajuan menjadikan kita mundur dan pendidikan yang tinggi tidak menjadikan kita lebih bijaksana dalam menilai dan bertingkah laku? Bilakah kita akan lebih matang untuk bersatu padu dalam isu-isu negara yang menjangkaui bangsa dan generasi? Bilakah kita akan sedar mengenai isu-isu besar yang boleh meranapkan negara dan memiskinkan generasi mendatang jika tidak dieratkan perpaduan untuk menangani serta menentangnya daripada terus berleluasa tanpa batas masa dan sempadan?
Namun, baru-baru ini kita dikejutkan dengan musibah banjir besar di Selangor yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia membenih kembali harapan bahawa perpaduan antara kaum masih hidup segar walaupun banjir tersebut membawa lumpur yang tebal.Di sana-sini pelbagai bangsa berganding bahu membantu meringankan beban mereka yang ditimpa bencana.
Berbunga rasa di hati melihat fenomena ini, apatah lagi melihatnya dalam kalangan generasi muda. Kita perlukan suatu isu yang merentasi sempadan bangsa dan agama untuk semua bertaut hati memperjuangkannya. Sebelum kita pergi jauh, dalam konteks Malaysia, apakah takrifan perpaduan yang sesuai?
Secara umumnya perpaduan adalah kesamaan dan kesatuan identiti seperti satu bangsa dan satu budaya. Bagi Malaysia yang mempunyai kepelbagaian etnik, bahasa, agama dan budaya, konsep yang ditekankan dalam Dasar Perpaduan Negara adalah ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.
Takrifan ini mengambil kira sejarah negara dan penerimaan rakyat Malaysia bahawa negara kita terdiri daripada masyarakat majmuk. Walaupun berlaku perubahan demografi etnik, semua individu masih kekal dengan pegangan agama, pengenalan etnik dan budaya masing-masing.
Menurut kajian yang dilakukan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengenai perpaduan kaum di Malaysia pada tahun 2014, analisis kajian mendapati lebih daripada 68 peratus responden daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India tidak mengamalkan budaya dan adat resam selain dari budaya sendiri.
Kajian ini menunjukkan konsep asimilasi kurang diamalkan kerana setiap etnik masih mempertahankan budaya dan ada resamnya. Jika kita melihat di sekeliling kita, dapatan kajian ini masih lagi relevan pada hari ini. Justeru itu, langkah-langkah dan tindakan perlu diambil pelbagai pihak bagi memupuk dan mengukuhkan lagi perpaduan dalam kepelbagaian ini tanpa perlu menunggu satu lagi bencana.
Kita semua sebagai rakyat Malaysia diikat oleh prinsip asas yang digariskan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang didokong oleh semua rakyat bagi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara. Manakala Rukun Negara adalah ideologi untuk menyeragamkan fahaman dalam kalangan pelbagai kelompok etnik dengan tujuan utama untuk membentuk perpaduan yang mantap.
Selagi semua pihak menghormati dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, aspirasi perpaduan akan dapat dicapai. Namun bagaimana memastikan ia berlaku? Di sinilah pentingnya penerapan nilai-nilai ini dilakukan sejak peringkat awal pendidikan tidak kiralah di sekolah kebangsaan, vernakular dan sebagainya.
Faktor kedua yang sangat penting untuk mengukuhkan perpaduan adalah peranan pemimpin di semua peringkat dari yang paling rendah di peringkat Jawatankuasa Kampung (JKK) hinggalah peringkat tertinggi negara. Merekalah yang paling utama membawa isu atau mempromosi kesatuan etnik dan bukannya memainkan isu perkauman untuk kepentingan peribadi dan politik masing-masing tanpa tanggungjawab.
Cukup-cukuplah memainkan isu perkauman dan agama bagi meraih undi yang kesannya akan melebarkan jurang perpaduan. Dalam konteks masa kini di mana dunia tanpa sempadan, peranan media sangat penting untuk mengetengahkan perpaduan antara kaum dan agama. Cerita-cerita baik dan tidak berat sebelah perlu diulang-ulangkan. Media tidak seharusnya dimanipulasi oleh mana-mana pihak untuk membawa isu-isu sensitif atau cerita fitnah yang boleh meretakkan perpaduan kaum.
Peranan individu juga amat penting dalam memupuk perpaduan seperti yang dipamerkan dalam bencana banjir yang berlaku di Selangor. Semua pihak mengetepikan agama, etnik, fahaman politik dan kepentingan peribadi untuk turun sama-sama membantu yang terkesan. Jika kita semua bersatu, kita boleh memecahkan rantaian stereotaip yang selalu dijaja oleh setengah pihak untuk memecahkan perpaduan.
Jika kita semua bersatu, kita boleh memecahkan rantaian stereotaip yang selalu dijaja oleh setengah pihak untuk memecahkan perpaduan. Dengan perpaduan, kita mampu memastikan keamanan negara serta melindunginya dari segala kemungkinan.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” akan terus relevan!
Halipah Mat Ali
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia
Tiba masanya ikut tauladan perpaduan masyarakat lebih majmuk di negara-negara kecil Qatar, UAE, dan Kuwait pastikan hak asasi warganegara daripada negara-negara asal migran expats masing-masing dan bukannya dianugerah warganegara tempatan.