Home Politik PRN Johor bukan tamak kuasa, hakikatnya kerajaan negeri tidak stabil

PRN Johor bukan tamak kuasa, hakikatnya kerajaan negeri tidak stabil

Mohd. Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Johor bahawa kedudukan kerajaan negeri itu tidak seharusnya bergantung atas ihsan pembangkang adalah realiti yang harus diterima oleh semua pihak.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, perkara itu memang tidak sepatutnya berlaku di Johor kerana negeri ini memerlukan sebuah kerajaan yang stabil demi memastikan perancangan negeri berjalan lancar.

Katanya, contoh yang diberikan oleh Datuk Hasni Mohammad bahawa pembangkang Johor membawa rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor selepas Belanjawan 2022 negeri pada November lalu adalah contoh yang menunjukkan kerajaan negeri berada dalam keadaan tidak stabil.

Undian menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27 sama selepas undian DUN dilakukan, namun Speaker Suhaizan Kaiat memutuskan berpihak kepada kerajaan menjadikan undian 28-27 bagi membolehkan Kerajaan Johor tidak tergantung.

“Jelas insiden ini membuktikan Kerajaan Johor amat tidak stabil dan berada dalam keadaan ihsan pembangkang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor sedar rakyat masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan ada yang sedang mengharungi situasi pasca banjir yang menyukarkan.

Namun, sebagai sebuah parti politik, kesedaran mendapatkan kerajaan yang stabil juga penting bagi memastikan segala bentuk bantuan dan polisi memberi manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Itulah yang dilakukan UMNO Johor, lalu memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang stabil dan kukuh.

”Mandat baharu adalah satu keperluan, tindakan mengadakan PRN ini bukanlah satu bentuk tamakkan kuasa atau menjaga kluster mahkamah seperti tohmahan sesetengah pemimpin politik yang dangkal.

“Ini adalah satu usaha demokrasi yang diperlukan bagi mencari sesebuah kerajaan yang kukuh untuk terus mentadbir,” jelas beliau. – MalaysiaGazette